TAMPIN – Jabatan Veterinar Negeri Sembilan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap tiga buah ladang ayam tanpa lesen yang beroperasi di Mukim Gemencheh kelmarin.
Pengarah Veterinar negeri, Dr. Nurul Ain Ahmad berkata, pemeriksaan itu dibuat susulan aduan yang diterima berkaitan aktiviti penternakan unggas di kawasan itu.
Katanya, pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap ketiga-tiga premis terbabit di bawah Seksyen 9 kerana mengendalikan perladangan unggas tanpa lesen yang sah.
“Kesalahan itu boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM5,000 bagi setiap kes,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, ladang ternakan ayam terbabit dipercayai menjadi punca kepada masalah lalat di kawasan Gemencheh.
“Saya telah mengarahkan Ahli Majlis di Majlis Daerah Tampin untuk membawa masalah lalat ini ke mesyuarat rasmi bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
“Jika masalah berlarutan, isu ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan lebih tegas.
“Kerajaan negeri menekankan bahawa kesihatan awam adalah keutamaan, dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, penduduk kampung berkenaan berang apabila masalah lalat berulang kembali dalam tempoh kurang empat bulan sehingga mencetuskan rasa kurang selesa mereka.














