fbpx
INILAH pangsapuri di Jalan Tampoi, Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru yang merupakan lokasi dua beradik dipercayai terjatuh dari tingkat 12 semalam.

Ibu kandung dua kanak-kanak jatuh pangsapuri ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Ibu kandung kepada dua kanak-kanak yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Jalan Tampoi, Kawasan Perindustrian Tampoi di sini semalam ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, wanita berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian tragis yang berlaku pada pukul 8.27 pagi.

Menurut beliau, dalam kejadian tersebut, dua beradik berusia lapan dan 10 tahun dipercayai terjun atau terjatuh dari tingkat 12 bangunan pangsapuri berkenaan.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis menahan ibu kepada mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau selain ujian saringan awal air kencing yang dijalankan menunjukkan keputusan negatif dadah.

Menurutnya, polis turut memperoleh perintah reman selama empat hari terhadap wanita terbabit bermula hari ini sehingga 11 Jun bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal juga melibatkan rakaman percakapan beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian dan melihat kedua-dua mangsa terjun atau terjatuh dari tingkat 12 pangsapuri tersebut,” ujarnya.

Ab Rahaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

“Punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan. Polis percaya penahanan ibu mangsa dapat membantu merungkai sebab sebenar kedua-dua kanak-kanak itu mengambil tindakan yang tidak wajar sehingga menyebabkan tragedi tersebut berlaku,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN