fbpx
Ayob ketika majlis pelancaran buku biografi di KLGCC, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Jangan ukur kejayaan dengan pangkat, harta, pengikut media sosial – Ayob Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pangkat, jawatan, kekayaan atau jumlah pengikut di media sosial tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kejayaan, sebaliknya seseorang perlu kekal berpegang pada prinsip ketika berdepan pelbagai cabaran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, nilai sebenar seseorang terserlah apabila mampu mempertahankan integriti dalam setiap tindakan, termasuk ketika berdepan tawaran kedudukan, kemewahan atau kepentingan peribadi.

“Integriti bukan sekadar diperkatakan, tetapi dibuktikan dalam tindakan. Hanya mereka yang benar-benar berintegriti mampu mempertahankan prinsip apabila berdepan dengan tawaran kedudukan, kemewahan atau kepentingan peribadi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Biografi Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya tidak takut bermula dari bawah kerana kerja yang halal tidak pernah merendahkan maruah seseorang.

“Saya pernah membersihkan meja, mencuci pinggan dan menebar roti canai. Semua pengalaman itu mengajar saya bahawa kejayaan memerlukan usaha, disiplin, kesabaran dan keberanian.

“Jangan berasa malu dengan asal usul kita. Yang perlu kita malu ialah apabila diberikan amanah tetapi mengkhianatinya,” ujarnya.

Menurut beliau, negara memerlukan lebih ramai individu yang berani mempertahankan amanah kerana pangkat akan berakhir, jawatan akan bertukar dan seragam akhirnya akan ditanggalkan.

“Saya mahu dikenang bukan semata-mata kerana jawatan yang pernah saya sandang, tetapi kerana usaha mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti dilaksanakan dengan adil dan amanah rakyat tidak boleh dijual beli,” katanya.

Beliau berkata, lebih separuh daripada hidupnya dihabiskan bersama Sang Saka Biru yang telah mendidik, membentuk serta mengajarnya mengenai disiplin, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan.

Katanya, beliau berharap penerbitan buku biografi itu memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi sumbangan kecil ke arah membina sebuah negara yang lebih bersih, adil, selamat dan bermaruah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN