PETALING JAYA – Cubaan seorang lelaki melarikan selaras pump gun milik pengawal keselamatan selepas cuba menyamun sebuah van syarikat keselamatan di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang pada Isnin lalu berakhir apabila dia dicekup polis hari ini.
Suspek warga tempatan berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi di Shah Alam, Selangor menerusi operasi khas Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas semula selaras pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore yang dilarikan ketika kejadian, selain sepucuk pistol pelepas olahraga jenama Ekol Lite bersama 48 butir peluru blank.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung cubaan samun yang berlaku pada 20 Julai lalu membabitkan sebuah kenderaan syarikat keselamatan yang membawa wang tunai.
Menurut beliau, suspek bertindak merampas selaras senjata api jenis pump gun jenama Mossberg bersama sebutir peluru 12 bore milik pengawal keselamatan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.
“Susulan kejadian itu, satu operasi khas dilancarkan oleh Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi mengenal pasti dan mengesan suspek yang terbabit.
“Pada 23 Julai 2026 kira-kira pukul 11 pagi, pasukan serbuan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an di kawasan Shah Alam, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada 24 Julai 2026 di mahkamah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – KOSMO! ONLINE














