TELUK INTAN – Polis membuka kertas siasatan berhubung kes tular penganiayaan terhadap seekor kucing oleh pekerja sebuah restoran di Taman Melor di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, siasatan awal telah dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan lokasi sebenar kejadian serta mendapatkan fakta lengkap berhubung insiden tersebut.
“Polis daerah Hilir Perak mengambil maklum mengenai video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah restoran bertindak memasukkan seekor kucing ke dalam guni.
“Tindakan individu berkenaan boleh disifatkan sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, polis turut menerima satu laporan yang dibuat oleh pemilik premis makanan berkenaan berhubung video tular tersebut.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, pekerja premis itu dipercayai merupakan individu yang telah memasukkan kucing berkenaan ke dalam guni seperti yang dipaparkan dalam video tular tersebut.
“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana dipercayai melakukan penganiayaan terhadap haiwan,” katanya.
Tambah beliau, polis memandang serius kes penganiayaan terhadap haiwan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut.
“Oang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














