MIAMI – Pengurus England, Thomas Tuchel percaya kualiti yang dimiliki skuad The Three Lions meletakkan pasukan itu semakin menghampiri kuasa besar bola sepak dunia yang lain.
Pandangan itu disuarakan selepas England menoktahkan perjalanan di Piala Dunia 2026 di tempat ketiga selepas cemerlang tewaskan naib juara edisi lalu, Perancis 6-4 di Stadium Miami, semalam.
Kejayaan ke atas Perancis kali ini menjadi bukti bahawa The Three Lions mampu untuk keluar daripada detik sukar selepas dipalit kecewa ekoran kegagalan ke pentas perlawanan akhir apabila tewas kepada Argentina di separuh akhir.
Tuchel mengakui seluruh pasukan harus memberi perhatian dan fokus untuk meningkatkan kualiti bagi menyaingi kuasa besar lain seperti Perancis dan juga Sepanyol yang kembali ke final buat kali pertama sejak 2010.
“Pastinya kami ada kemampuan untuk merapatkan jurang itu dengan pasukan hebat lain. Lapan tahun lalu, Perancis muncul juara, empat tahun lalu mereka juga berada di pentas final, jadi jurang kini semakin mengecil.
“Kami mahu terus merapatkan jurang itu dan seperti saya katakan sebelum ini, semua ini adalah langkah pertama. Untuk menyaksikan pasukan berjuang seperti ini memberikan tenaga buat saya.
“Namun kami tetap akan merasai kesakitan kerana akan ada perlawanan utama, tetapi membabitkan pasukan lain, bukannya kami,” katanya.
Pada perlawanan semalam, bintang Arsenal, Bukayo Saka menjadi pemain yang berjaya mencuri perhatian apabila menghasilkan hatrik diikuti satu gol daripada Declan Rice, Ezri Konsa dan Jude Bellingham.
Kapten Perancis turut menyerlah apabila menghasilkan dua gol diikuti satu daripada Bradley Barcola dan Ousmane Dembele.
Kejayaan menduduki tempat ketiga kali ini adalah pencapaian terbaik The Three Lions di pentas Piala Dunia sejak memenangi pertandingan ini pada 1966 dan Tuchel merasakan ia akan beri lebih suntikan moral buat pasukan.
“Kami dapat merasakan kesakitan kerana gagal mara ke final. Sudah pasti ia akan mengambil masa namun secara keseluruhannya, ia akan beri tenaga tambahan buat pasukan,” katanya.
Pada edisi 2018, England juga terpaksa beraksi dalam penentuan tempat ketiga selepas gagal ke pentas final, namun ketika itu mereka terpaksa akur apabila meraih kedudukan keempat selepas tewas kepada Belgium 0-2. – AGENSI














