MIAMI – Aksi penentuan tempat ketiga saingan Piala Dunia 2026 dihiasi dengan pesta gol apabila menyaksikan England mencatat kemenangan besar 6-4 ke atas Perancis di Stadium Miami pagi semalam.
Pada perlawanan itu, enam gol England hadir menerusi jaringan hatrik Bukayo Saka serta masing-masing satu gol sumbangan Declan Rice, Ezri Konsa dan Jude Bellingham, manakala gol Perancis dijaringkan Bradley Barcola, Ousmane Dembele serta dua gol Kylian Mbappe.
Jurulatih Les Bleus, Didier Deschamps yang akan meninggalkan pasukan itu sebaik tamat kempen Piala Dunia menyuarakan rasa kecewa dengan keputusan tersebut, terutamanya ketika ketinggalan 0-4 di separuh masa pertama.
“Sebenarnya lebih baik untuk menamatkan kempen sebagai pasukan ketiga terbaik kerana kami hadir dengan impian cukup besar. Bagaimanapun, saya gembira dengan perjalanan bersama pasukan pada kempen kali ini.
“Memang benar kami tewas, tetapi kami ketinggalan 0-4 di separuh masa pertama. Bagi saya, aksi separuh masa pertama itu tidak boleh diterima kerana kami gagal menampilkan permainan sebenar.
“Selepas itu, kami mula menunjukkan respons dan ada dua peluang untuk kembali menyamakan kedudukan 4-4. Ini adalah salah saya kerana tidak melakukan perubahan yang diperlukan di separuh masa pertama,” katanya.
Sementara itu, Deschamps turut mendedahkan bahawa kekecewaan gagal mara ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut telah menyebabkan para pemainnya berasa hambar dan hilang semangat menghadapi aksi kali ini.
Tambahnya, biarpun secara teknikalnya ia merupakan pertembungan berprofil tinggi antara dua kuasa besar bola sepak Eropah kedua-dua pasukan sedang bergelut untuk mencari motivasi bagi menghadapi perlawanan yang dianggap paling kurang bermakna.
“Saya mempunyai tanggungjawab untuk perlawanan ini. Ini bukan perlawanan persahabatan. Ini adalah perlawanan penentuan tempat ketiga. Sudah tentu ia tidak sepenting perlawanan akhir. England tidak mahu bermain dalam perlawanan ini, begitu juga kami. Namun, inilah hakikatnya,” kata Deschamps.
Sebagai rekod, Deschamps mengharungi karier cukup cemerlang selaku pengendali Perancis apabila mengemudi pasukan itu memenangi Piala Dunia 2018 selain menjadi juara Liga Negara-Negara pada 2021. – AGENSI














