PETALING JAYA – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima pelbagai reaksi positif dan ucapan penghargaan daripada rakyat Malaysia selepas berjaya menyiarkan keseluruhan 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara langsung.
Tinjauan di Threads mendapati rata-rata penonton berpuas hati dengan liputan stesen penyiaran awam itu sepanjang kejohanan berlangsung sehingga Sepanyol bergelar juara.
Menerusi akaun rasmi @rtm_malaysia, pihak RTM sempat berterima kasih kepada penonton selain memberi bayangan mengenai projek siaran sukan yang seterusnya.
“Terima kasih layan Piala Dunia FIFA 2026 di RTM dari hari pertama sampai Sepanyol menjulang trofi ikonik. Kita jumpa lagi untuk Sukan Komanwel nanti,” katanya pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji usaha RTM membawakan siaran secara percuma.
“Terima kasih RTM telah menyiarkan siaran World Cup kepada semua rakyat Malaysia. Kami hargai jasa baik anda semua pihak RTM,” ujar Sherlocksyafiq.
Bagi seorang peminat setia bola sepak, Iqmaldhanial, dia amat menghargai penyiaran penuh kejohanan itu yang membolehkannya mengikuti perkembangan pasukan kegemaran.
“Terima kasih kerana menyiarkan live Piala Dunia 104 perlawanan. Terima kasih banyak-banyak daripada saya peminat Jerman sejak zaman kapten Michael Ballack,” katanya.
Sementara itu, penggunaan aplikasi RTM Klik turut mendapat perhatian penonton kerana memudahkan mereka menyaksikan perlawanan secara percuma di mana-mana sahaja.
“RTM Klik terbaik, memang puas hati. Kalau tidak, habis duit dekat kedai mamak,” seloroh Danialayiefikri. – KOSMO! ONLINE














