PETALING JAYA – Umpama jatuh ditimpa tangga, itulah nasib malang menimpa pemain Argentina, Enzo Fernandez apabila bukan sahaja dilayangkan kad merah, tetapi pasukannya juga turut kalah perlawanan akhir Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.
Lebih malang, Fernandez yang juga pemain tengah pasukan itu menjadi pemain keenam dalam sejarah yang dibuang padang pada aksi final Piala Dunia.
Layangan kad merah itu juga kepada Argentina sebagai negara yang mencatatkan jumlah kad merah terbanyak dalam sejarah final Piala Dunia.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, rata-rata peminat bola sepak menyifatkan kekalahan pasukan Argentina itu berpunca daripada layangan kad merah yang diterima Fernandez itu.
“Bayangkan kau terpaling beria pastu kau punca team main kelam kabut 10 orang,” tulis Akmalhizzat.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Jemisnyname7.
“Puas hati tengok orang sombong ni dapat red card (kad merah).Spain (Sepanyol) layak menang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peminat dikenali sebagai 4lipman menyifatkan kekalahan Argentina sebagai tamparan hebat buat anak emas FIFA itu.
“Argentina ‘gameplay’ nampak sangat guna kabel nak boleh masuk final. Dari group stage (peringkat kumpulan) paling senang dengan bantuan reff (pengadil) lagi. Anak emas FIFA betul,”ujarnya.
Terdahulu, pada aksi final Piala Dunia 2026 awal pagi tadi, Argentina tewas 1-0 kepada Sepanyol selepas Ferran Torres berjaya menjaringkan gol pada masa tambahan.-KOSMO! ONLINE














