fbpx
SAKA menjadi pemain kedua selepas Hurst meledak hatrik pada aksi kalah mati di Piala Dunia. - AFP

Piala Dunia 2026: Saka berjaya ulangi sejarah 60 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI – Penyerang England, Bukayo Saka puas selepas meledak hatrik ketika membantu pasukannya menang 6-4 ke atas Perancis pada aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026, pagi semalam.

Bintang Arsenal itu kini muncul pemain England kedua yang menjaringkan tiga gol di pusingan kalah mati Piala Dunia selepas Sir Geoff Hurst di perlawanan akhir 1966 yang menyaksikan The Three Lions bergelar juara.

“Ia adalah perlawanan yang cukup ‘gila’ dan kami tetap merasakan keperitan kerana tidak mampu layak ke perlawanan akhir. Namun, untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik dalam tempoh 60 tahun adalah perkara utama.

“Kami mengawal babak pertama, tetapi mereka (Perancis) bangkit di separuh masa kedua. Pada akhirnya kami mampu memenangi perlawanan ini,” katanya.

Hatrik yang dihasilkan Saka kali ini menyaksikan England memiliki tiga pemain dalam senarai 15 penjaring terbanyak Piala Dunia 2026 apabila Jude Bellingham menghasilkan tujuh gol dan Harry Kane (enam gol).

Ketika jaringan ketiga dihasilkan, Bellingham turut mengesahkan namanya sebagai penjaring pada perlawanan kali ini mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang tonggak utama pasukan bagi mengharungi cabaran selepas ini.

Malah, bintang Real Madrid itu turut mendapat pujian kerana tidak mementingkan pencapaian peribadi apabila ambil keputusan beri peluang kepada Saka untuk melengkapkan hatrik menerusi sakan penalti.

“Dia (Bellingham) adalah orang pertama yang menyuruh saya melengkapkan hatrik. Kami mengharungi detik terbaik dan memperoleh keputusan menakjubkan sepanjang perlawanan.

“Kami tewas kepada Argentina namun kami harus berasa bangga dengan apa yang kami lalui dan sedia untuk cabaran selepas ini,” kata Saka.

Untuk rekod, Bellingham kini muncul pemain Inggeris pertama yang menjaringkan tujuh gol dalam satu edisi Piala Dunia.

Prestasi luar biasa yang dipamerkan Bellingham menyaksikannya sudah pun mengatasi rekod lama milik legenda The Three Lions, Gary Lineker yang menghasilkan enam gol pada Piala Dunia 1986. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN