SEREMBAN – Kekuatan jentera di peringkat akar umbi, pemilihan calon yang berwibawa serta kemampuan parti mengelakkan pertembungan sesama sekutu dijangka menjadi faktor utama yang bakal menentukan hala tuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, selain kekuatan jentera di lapangan, sambutan terhadap kempen awal turut menjadi petunjuk penting dalam menilai momentum setiap parti menjelang hari pengundian.
Menurut beliau, kemampuan parti menyusun strategi tanpa berlaku pertembungan sesama blok atau sekutu juga bakal memberi kelebihan kepada mana-mana gabungan yang bertanding.
“Parti dan calon merupakan elemen paling penting dalam pilihan raya. Di Negeri Sembilan, pengundi masih menitikberatkan kredibiliti calon, rekod khidmat kepada masyarakat setempat serta tahap penerimaan dalam kalangan pengundi.
“Logo parti hanya menjadi pelengkap tetapi faktor calon masih memainkan peranan yang lebih besar dalam mempengaruhi keputusan pengundi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ujarnya, PRN kali ini turut mencuri perhatian apabila menyaksikan kerjasama longgar antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), selain Bersatu memilih menggunakan logo sendiri.
Katanya, perkembangan ini menjadikan landskap politik Negeri Sembilan lebih menarik berbanding pilihan raya sebelum ini kerana membuka ruang kepada percaturan baharu di beberapa kawasan.
Mengulas mengenai senarai calon yang diumumkan parti-parti bertanding, beliau berpandangan ia secara keseluruhannya memenuhi jangkaan ramai.
“Beberapa muka baharu turut diketengahkan sebagai usaha parti membawa pembaharuan dan menyegarkan imej mereka, selain memberi peluang kepada generasi baharu untuk tampil sebagai pemimpin,” katanya.
Mengulas pihak yang lebih tertekan menjelang hari penamaan calon, beliau berkata, kedua-dua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang berdepan tekanan masing-masing.
“Namun, tekanan lebih dirasai penyandang kerana bukan sahaja perlu mempertahankan kerusi dimenangi, malah berusaha memastikan tiada faktor yang boleh memecahkan undi penyokong.
“Kerajaan juga perlu mempertahankan prestasi pentadbiran dan memenuhi jangkaan penyokong, lebih-lebih lagi apabila wujud jajaran politik baharu melibatkan BN dan PN yang menjadikan pertandingan kali ini lebih sukar diramal.
“Atas sebab itu, setiap strategi sepanjang berkempen akan memainkan peranan penting dalam menentukan parti yang berjaya memperoleh kelebihan menjelang hari pengundian,” katanya. -KOSMO! ONLINE














