KOTA BHARU – Seorang wanita yang sebelum ini dikenali sebagai ‘gadis api misteri’ memilih pengamal perubatan Islam berusia 82 tahun yang banyak membantu dalam proses memulihkannya daripada gangguan makhluk halus sebagai suami bulan lalu.
Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 28, mendapat perhatian ramai sejak 2012 selepas kemunculan ‘api misteri’ yang membakar barangan di dalam rumah keluarganya menyebabkan mereka hidup dalam kebimbangan.
Dia tidak menyangka jodohnya dipertemukan dengan seorang pengamal perubatan Islam, Mokhtar Mohamed yang pernah mengubati penyakit dihidapinya sebelum ini.
Katanya, dia yang mengenali suaminya selama dua tahun sebelum mengambil keputusan untuk bernikah pada 24 Jun lalu.
“Saya mengenali suami dan menjalinkan hubungan ketika dia membawa saya berubat di rumah pengamal perubatan Islam di Melor selepas beberapa kali diuji dengan misteri kemunculan api di rumah di Kampung Penambang, di sini.
“Meskipun berbeza usia 54 tahun dengan suami, saya tetap berdoa agar dikurniakan zuriat,” katanya di sini semalam.
Dia yang sebelum ini mempunyai penyakit sawan memberitahu, selepas berkahwin dia tidak lagi mengalami gangguan dan kini tinggal di rumah suaminya di Kampung Chap, Bachok.
Katanya, dia pernah berkahwin dengan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dan rumah tangga itu bertahan setahun.
“Keputusan untuk berkahwin dengan suami yang merupakan duda kematian isteri Februari lalu awalnya tidak dipersetujui oleh nenek dan ahli keluarga lain.
“Selepas berfikir secara mendalam, hanya suami benar-benar memahami ujian yang pernah dialami saya ketika mengalami gangguan itu,” ujarnya.
Katanya, dia sebelum ini banyak ditohmah oleh masyarakat berikutan kejadian gangguan api misteri kerana ramai tidak percayakannya selain beranggapan dia punca kepada kejadian itu.
“Sebelum ini ramai menganggap saya mengalami masalah mental dan macam-macam lagi,” katanya.
Media pada September 2012 melaprkan kisah Wan Nor Fatihah mendapat perhatian selepas kemunculan ‘api misteri’ yang membakar barangan dalam kediaman keluarganya.














