Orang yang mempunyai kanser dan diabetes di Malaysia semakin membimbangkan. Laporan Kosmo! baru-baru ini menyebut 110 orang disahkan menghidap barah sehari sepanjang 2024.
Antara kanser yang paling banyak dan kerap dihidapi termasuk payudara, kolorektal (usus besar dan rektum) prostat, paru-paru serta rahim.
Data itu diperoleh daripada Institut Kanser Negara yang mendedahkan jumlah lelaki disahkan kanser pada 2024 ialah seramai 18,240 manakala wanita pula 21,958. Jika dicampurkan dan dibahagikan dengan 365 hari, maka dapatlah jumlah sehari orang yang terkena penyakit itu.
Minggu lepas di Parlimen, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan diabetes jenis 2 sudah menyerang remaja seawal usia 14 tahun. Ia bukan lagi penyakit eksklusif warga emas.
Cara pengambilan makanan dan gaya hidup pasif disahkan sebagai punca kepada penyakit itu. Salah satu adalah disebabkan pengulangan memakan atau meminum benda manis dan berlemak yang tular di media sosial.
Ini semua adalah salah sendiri. Cara kita mengawal pengambilan makanan cukup penting untuk mengelak atau melambatkan diabetes hingga dalam badan. Kalau sudah sampai ke tahap cucuk insulin, maka tiada maaf bagimu.
Itu bab diabetes. Ada satu penyakit yang kalau kita disahkan menghidapnya, netizen atau saudara mara sangat cepat membuat kesimpulan. Itulah kanser.
“Ini tak lain tak bukan, sebab vaksin.” Wah, cukup senang dia ‘checkmate’. Seolah-olah dia duduk di makmal seperti para saintis dan doktor yang memerah otak mencari penawar bagi wabak yang melanda dunia lima tahun lalu.
Kanser juga mempunyai kaitan rapat dengan pemakanan dan faktor genetik. Kesimpulan itu berlaku kerana masa pengambilan vaksin dan laporan perubatan dilakukan berada pada jarak yang terlalu rapat.
Kalau kita mengambil laporan sebelum wabak sudah tentu kita akan mendapati ramai juga yang meninggal dunia akibat kanser.
Ada sahaja ahli keluarga, jiran, rakan dan sahabat handai yang sengsara dan meninggal dunia akibat penyakit pembunuh tersebut. Persatuan kanser pun sudah lama ditubuhkan iaitu sebelum kerajaan menggesa rakyat mencucuk vaksin untuk mencipta komuniti imun.
Bukanlah penulis untuk menidakkan mana-mana golongan tetapi hanya memberitahu pembaca bahawa berfikir secara positif adalah lebih bermanfaat daripada asyik menuding jari ke sana sini.
Menyalahkan orang lain cukup senang untuk menutup kesalahan diri sendiri. Kecuaian dan kelemahan dalam menjaga kesihatan akhirnya menuntut modal yang tinggi. Kesihatan adalah nikmat yang tidak mempunyai harganya.
Apapun penyakit yang kita hidapi sebenarnya mempunyai hikmah yang jarang disebutkan oleh manusia. Kita hanya nampak sudut negatif sahaja sedangkan ia mempunyai nilai positif yang akan diterjemahkan jika kita bersyukur.
Dalam Islam, kita diajar setiap kesusahan itu akan disusuli dengan kesenangan atau kemudahan. Dua kali ia disebut dalam surah al-Insyirah.
Penyakit akan menghapuskan dosa sehinggalah tiada lagi padanya (dosa tersebut) jika ia kembali kepada Yang Maha Esa.














