fbpx
RAKYAT kini mahu lihat calon benar-benar turun padang, mudah didekati dan memahami masalah mereka berbanding hanya muncul ketika pilihan raya.

Rakyat sudah muak dengar janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PILIHAN RAYA NEGERI (PRN) Negeri Sembilan ke-16 akhirnya membuka tirai dengan menyaksikan 103 calon bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Gelanggang demokrasi kali ini dijangka berlangsung sengit apabila setiap parti tampil membawa manifesto dan tawaran masing-masing.

Namun, persoalan lebih besar apakah yang sebenarnya diharapkan oleh rakyat daripada pilihan raya kali ini.

Bagi penulis, PRN bukan sekadar pertandingan untuk menentukan parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri, sebaliknya peluang rakyat menilai prestasi pentadbiran lalu dan menentukan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun lagi.

Realitinya, pengundi hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi hanya melihat kepada retorik politik atau ceramah yang penuh dengan sindiran terhadap lawan, tetapi lebih cenderung menilai sejauh mana sesuatu parti mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi setiap hari.

Peluang pekerjaan khususnya kepada orang muda antara menjadi perhatian. Ramai graduan mengharapkan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan agar mereka tidak perlu berhijrah ke negeri lain.

Dalam masa sama, isu perumahan mampu milik terus menjadi harapan rakyat, terutama pasangan muda yang masih bergelut memiliki kediaman sendiri akibat kenaikan harga rumah.

Kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air, sistem perparitan, pengangkutan awam dan capaian internet juga tidak boleh dipandang ringan.

Rakyat kini lebih gemar melihat calon yang benar-benar turun padang, mudah didekati dan memahami masalah mereka berbanding hanya muncul ketika pilihan raya.

Dalam landskap politik semasa, rakyat dilihat semakin kurang berminat dengan politik kebencian. Apa yang mereka harapkan ialah kempen yang matang, berhemah dan memberi fokus kepada penyelesaian, bukannya saling menyerang peribadi lawan.

Pandangan itu turut dikongsi Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin yang berpendapat corak pengundian pada PRN kali ini bukan sahaja dipengaruhi isu semasa, malah sentimen kenegerian, isu setempat serta sokongan penyokong
tegar parti politik.

Bagaimanapun, beliau berkata, faktor paling utama yang akan dinilai pengundi ialah prestasi parti-parti yang bertanding serta kemampuan mereka menawarkan penyelesaian terhadap isu rakyat, berbanding memainkan sentimen politik atau emosi.

“Rakyat mahu kematangan politik dan kestabilan. Mereka tidak lagi mengharapkan kempen yang terlalu beremosi sehingga boleh menjejaskan perpaduan masyarakat dan pembangunan negeri.

“Politik matang memperjuangkan kepentingan rakyat, mengutamakan kesepaduan nasional dan mampu menghasilkan pulangan terbaik kepada masyarakat melalui pentadbiran yang berkesan,” katanya kepada Kosmo!.

Bagi penulis, PRN Negeri Sembilan kali ini juga menjadi medan menguji sejauh mana parti-parti politik memahami perubahan kehendak rakyat yang semakin menuntut ketelusan, akauntabiliti dan pentadbiran yang cekap.

Apa yang pasti, rakyat tidak mengharapkan manifesto yang terlalu indah di atas kertas jika akhirnya gagal dilaksanakan selepas memperoleh mandat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN