fbpx
Rakaman video dashcam mampu mendedahkan kebenaran kemalangan di jalan raya.

Dashcam saksi paling ‘jujur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAKIKATNYA, landskap keselamatan jalan raya kini semakin berubah apabila rakaman papan pemuka atau dashcam sering menjadi penentu utama dalam merungkai kejadian.

Daripada kes langgar lari hingga tragedi maut berprofil tinggi, peranti kecil yang dipasang pada cermin hadapan kenderaan itu menjadi bukti bagaimana rakaman video mampu mendedahkan kebenaran dalam sekelip mata.

Dalam suasana jalan raya yang semakin mencabar, dashcam bukan lagi sekadar aksesori tambahan sebaliknya telah berkembang menjadi saksi paling ‘jujur’ merakam setiap detik tanpa prejudis, emosi atau kepentingan.

Persoalannya kini bukan lagi sama ada dashcam perlu dipasang, tetapi sama ada Malaysia sudah bersedia menjadikannya satu keperluan asas bagi setiap kenderaan.

Pengasas Persatuan Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berpandangan Malaysia semakin hampir menjadikan dashcam sebagai keperluan keselamatan berikutan peningkatan kes kemalangan, langgar lari dan pertikaian di jalan raya.

“Secara prinsipnya, berbanding saksi manusia boleh panik, keliru atau terlupa, rakaman dashcam memberi gambaran lebih objektif dan membantu mengurangkan manipulasi fakta.

“Namun, rakaman itu tetap perlu dinilai bersama siasatan teknikal lain kerana sudut kamera kadangkala tidak menunjukkan keseluruhan situasi,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan dashcam secara meluas juga berpotensi mengubah budaya pemanduan daripada sikap ‘tiada siapa nampak’ kepada kesedaran bahawa setiap tindakan di jalan raya boleh dibuktikan.

Tambahnya, dashcam juga boleh menjadi bukti kukuh untuk tuntutan insurans atau siasatan forensik selepas kemalangan.

“Kami mencadangkan kerajaan mempertimbangkan insentif seperti rebat cukai, subsidi pembelian, potongan premium insurans atau pemasangan wajib secara berperingkat bagi kenderaan baharu.

“Selain itu, pemasangan dashcam boleh didaftarkan dan pemilik yang bekerjasama dengan pihak berkuasa melaporkan kesalahan pengguna jalan raya diberi insentif sebagai galakkan,” jelasnya.

Sementara itu, Peguam M. Partiben menyifatkan rakaman dashcam kini menjadi antara bahan bukti yang semakin signifikan dalam prosiding mahkamah.

Menurut beliau, rakaman tersebut boleh membantu menyokong fakta kes serta memberikan gambaran lebih jelas mengenai kronologi sesuatu kejadian.

“Fungsi dashcam hari ini boleh diibaratkan sebagai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bergerak yang berupaya merakam detik penting sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian berlaku.

“Rakaman dashcam boleh menjadi bukti utama sekiranya ia didapati asli, relevan serta mempunyai kualiti visual yang jelas.

“Mahkamah tetap akan menilai keseluruhan fakta dan keterangan, namun rakaman dashcam boleh menjadi bukti sokongan yang sangat kuat jika ketulenannya tidak dipertikaikan,” katanya.

Justeru, isu mewajibkan dashcam bukan lagi isu kecil, tetapi satu keperluan mendesak demi memastikan setiap kemalangan tidak lagi berakhir dengan tanda tanya, sebaliknya jawapan yang jelas dan tidak boleh dipertikaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN