fbpx
ADZLI (dua dari kiri) bertemu dengan ahli keluarga mangsa nahas enam sekeluarga yang maut di Jabatan Forensik HSB di Alor Setar, malam ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

Nahas 6 maut: Pemandu lori negatif dadah, hanya pandu 60 km/j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang mengakibatkan enam sekeluarga maut dalam kejadian di Kampung Baru Pinang Tunggal di Sungai Petani, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian lori membawa muatan tanah itu hanya dipandu pada kelajuan 60 kilometer per jam (km/j).

“Selain itu, terdapat maklumat mengatakan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terlibat dalam kejadian itu adalah kenderaan baharu yang baru diambil (dari pusat jualan kenderaan) pada pagi tadi.

“Kita akan tengok mungkin ada masalah, pemeriksaan akan dibuat secara menyeluruh di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Kata beliau, pemandu lori berusia 47 tahun yang ditahan sejurus kejadian didapati negatif dadah.

“Walau bagaimanapun dia didapati mempunyai tujuh saman termasuk empat yang belum diselesaikan. Namun begitu, dia mempunyai lesen memandu sah dan kelajuan lori semasa kejadian hanya 60 kilometer sejam.

“Permohonan reman ke atas pemandu lori terbabit akan dibuat di mahkamah Sungai Petani esok,” ujarnya.

Adzli pada masa sama meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

“Janganlah kita buat spekulasi kerana ada yang secara peribadi WhatsApp kepada saya kata pemandu lori itu mabuk dan maklumkan kata berlainan bangsa.

“Jadi saya rasa ini adalah satu spekulasi yang sangat tidak bertanggungjawab. Saya maklumkan di sini bahawa pemandu lori dan keluarga terlibat berbangsa Melayu,” jelasnya.

Katanya, enam mangsa yang terkorban dalam nahas itu ialah pemandu, Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Nibong Tebal.

Turut maut isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan jururawat di sebuah hospital di Sungai Bakap, Pulau Pinang serta bayi mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan. Seorang lagi anak pasangan itu iaitu Aulia Sofea, 3, cedera parah pada muka.

Tiga lagi mangsa yang maut ialah adik Ahmad Syafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, pemilik Proton X50 berkenaan yang bekerja sebagai jurujual kedai telefon dan ibunya, Nora Mohd Husin, 55, serta Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang merupakan anak saudara kepada Ahmad Syafiq.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN