fbpx
CALON PH (dua dari kiri) di DUN Seri Menanti mahu menggunakan pengalaman sebagai peguam untuk membantu masyarakat.

‘Peguam rakyat’ mahu bela penduduk Seri Menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Pengalaman selama dua dekad membela masyarakat kurang berkemam­puan di mahkamah menjadi bekalan utama calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa, untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Mohd. Kamarul Arifin, 46, yang lebih dikenali sebagai seorang aktivis dan ‘peguam rakyat’ berkata, beliau telah mengendalikan ribuan kes secara percuma atau pro bono sepanjang menjadi peguam bela dan peguam cara.

Ujarnya, beliau mula beramal dalam bidang guaman pada 2004 dan mempunyai dua firma guaman di Kuala Pilah dan Seremban.

“Saya telah menjadi peguam kira-kira 20 tahun dan bantuan itu bukan sahaja melibatkan kes jenayah, malah turut merangkumi permasalahan kekeluargaan dan syariah termasuk kes membabitkan ibu tunggal yang memerlukan pembelaan serta nasihat di mahkamah.

“Bukan hanya orang kaya berhak mendapat khidmat peguam. Orang miskin dan mereka yang berada dalam kesusahan juga berhak untuk dibela dan mendapat keadilan,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Lanjut Manis, Terachi, di sini kelmarin.

Beliau yang turut berpenga­laman sebagai peguam syarie itu berkata, sepanjang tempoh tersebut, dianggarkan antara 3,000 hingga 4,000 kes dan khidmat nasihat guaman percuma telah diberikan kepada masyarakat.

Dia pernah menjadi ahli panel Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi membantu tertuduh kurang mampu mendapatkan khidmat guaman dan bantuan mitigasi di mahkamah.

Katanya, beliau kini berehat seketika daripada amalan guaman secara sepenuh masa selepas menyertai pentadbiran kerajaan, namun masih mempunyai lesen peguam syarie dan bersedia memberi nasihat perundangan apabila diperlukan.

“Pengalaman mendengar keluhan dan membela nasib masyarakat di mahkamah menyebabkan saya memahami bahawa perjuangan membantu rakyat tidak harus terhenti dalam bidang perundangan sahaja.

“Alhamdulillah, pencalonan ini merupakan satu amanah besar yang diberikan kepada saya oleh Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan negeri di DUN Seri Menanti.

“Jika diberi mandat, saya mahu pastikan kebajikan semua penduduk Seri Menanti khususnya warga emas dan pasangan suami isteri yang tinggal bersendirian kerana anak-anak bekerja di bandar diberi perhatian,” katanya.

MOHD. KAMARUL ARIFIN (tengah) menyantuni penduduk ketika ditemui di Kampung Baru Lanjut Manis, Terachi, Kuala Pilah baru-baru ini.

Beliau pernah menjadi Ketua Biro ANSAR, Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan yang menyediakan klinik guaman serta khidmat nasihat percuma selepas mene­liti latar belakang dan kedudukan kewangan pemohon. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN