PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 33.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara dari Bandar Serenia menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Info Trafik memaklumkan kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5.15 petang.
Menurut LLM, kejadian menyebabkan lorong tengah dan lorong kanan di lokasi ditutup, sekali gus mengakibatkan aliran trafik bergerak perlahan sepanjang 9 kilometer.
“Setakat pukul 5.46 petang, kanak-kanak lelaki yang terlibat telah dibawa ke hospital menaiki ambulans.
“Pegawai penyiasat juga berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan petugas di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














