ISU buli terus menjadi barah meskipun pelbagai kempen dan dasar diperkenalkan kerana gejala itu masih berulang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Setiap kali satu kes selesai, muncul pula kes baharu yang menunjukkan isu buli bukan lagi masalah terpencil, sebaliknya cabaran berterusan yang memerlukan tindakan menyeluruh.
Statistik Kementerian Pendidikan membuktikan gejala itu masih membimbangkan apabila sebanyak 4,994 kes buli direkodkan pada 2023 dan meningkat kepada 7,681 kes sepanjang 2024.
Bagi 2025 pula, sebanyak 2,889 kes direkodkan membabitkan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah.
Walaupun jumlah kes pada 2025 menunjukkan penurunan, angka itu tetap membuktikan bahawa isu buli masih belum berjaya dibendung sepenuhnya.
Ramai berpendapat pelajar hari ini semakin berani melanggar peraturan sekolah dan tidak lagi gentar terhadap tindakan disiplin kerana merasakan hukuman yang dikenakan tidak memberi kesan.
Pada masa sama, guru pula berdepan cabaran yang semakin kompleks apabila tindakan disiplin sering menjadi perhatian ibu bapa dan masyarakat sehingga ada yang ditularkan di media sosial.
Keadaan itu menyebabkan ‘kuasa’ guru dilihat semakin terbatas untuk mendisiplinkan murid sekali gus mengakibatkan segelintir pelajar mengambil kesempatan.
Isu buli terus menjadi perhatian sepanjang 2026 susulan kejadian tular di sebuah sekolah menengah di Kajang pada April lalu apabila rakaman memaparkan seorang pelajar perempuan didakwa dibuli sekumpulan pelajar lain tersebar di media sosial.
Pada Jun pula, isu buli di Maktab Rendah Sains Mara kembali menjadi tumpuan susulan aduan seorang ibu yang mendakwa anaknya dianiaya hingga terpaksa berhenti sekolah.
Persoalan sama ada kuasa guru perlu diperkasakan semula bagi membolehkan tindakan disiplin dilaksanakan dengan lebih berkesan terus menjadi perdebatan.
Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, pendekatan paling berkesan ialah gabungan antara disiplin yang tegas, pendidikan emosi dan intervensi pemulihan.
Menurut beliau, disiplin yang konsisten perlu dilaksanakan supaya setiap pelajar memahami sempadan tingkah laku serta akibat sekiranya melanggar peraturan sekolah.
“Kemahiran sosial dan emosi seperti empati, komunikasi serta kawalan kendiri juga perlu diterapkan secara sistematik kerana ramai pembuli sebenarnya gagal mengurus emosi dan konflik dengan baik.
“Intervensi kaunseling penting bagi mengenal pasti punca sebenar seseorang melakukan buli sama ada berpunca daripada konflik keluarga, tekanan emosi atau pengalaman trauma,” katanya.
Siti Fatimah berkata, pelaku perlu memahami kesan perbuatannya terhadap mangsa serta bertanggungjawab memperbaiki keadaan dan bukan sekadar menerima hukuman.
Katanya, perubahan tingkah laku hanya akan berkekalan apabila ibu bapa, guru, kaunselor dan komuniti sekolah bergerak sebagai satu pasukan.
“Matlamat utama menangani isu buli bukan sekadar menghukum pelaku, tetapi melahirkan individu yang mampu mengawal emosi, menghormati orang lain dan bertanggungjawab terhadap setiap tindakan.
“Keseimbangan antara ketegasan, keadilan, pendidikan dan pemulihan merupakan formula terbaik untuk membendung gejala buli sekali gus mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat serta kondusif untuk semua,” tambahnya.














