ROM – Impian Itali untuk melantik Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih baharu skuad Azzurri berkecai apabila pengendali dari Sepanyol itu dilaporkan hampir pasti menolak tawaran yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC).
Sebagai rekod, Guardiola yang berstatus ejen bebas selepas kontrak bersama Manchester City berakhir menjadi calon utama untuk mengembalikan kegemilangan Itali yang gagal layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Menurut laporan terkini media tempatan, rundingan masih menemui jalan buntu selepas Guardiola dan wakil FIGC, termasuk pengarah teknikal Paolo Maldini serta penasihatnya, Leonardo mengadakan pertemuan di Barcelona awal minggu ini.
Guardiola didakwa meminta gaji sekitar €20 juta (RM93 juta) setahun, namun pengurusan The Azzurri hanya mampu menawarkan kira-kira €10 juta (RM46.5 juta) setahun.
Walaupun Maldini dan Leonardo mempunyai hubungan rapat dengan bekas pengendali Barcelona itu, mereka dikatakan sudah pulang ke tanah air selepas pertemuan tersebut dengan membawa harapan tipis.
Antara terma menarik yang diberikan FIGC adalah memberikan Guardiola projek jangka panjang mempunyai kuasa terhadap pembangunan bola sepak Itali secara keseluruhan.
Namun, jurulatih berusia 55 tahun itu dipercayai lebih cenderung untuk ‘bersara’ sementara waktu dengan meluangkan masa bersama keluarga di Barcelona selepas menghabiskan sedekad di England. – AGENSI














