Tiada apa yang luar biasa tentang raket badminton lazimnya. Raket hanyalah satu peralatan bagi suatu permainan atau sukan. Namun baru-baru ini, macam-macam kisah tentang raket hangat diperkatakan netizen ekoran hal-hal dilaporkan media yang mencuri perhatian.
Itu tidak termasuk perkongsian Public Health Malaysia yang muncul dengan artikel bermain badminton boleh memanjangkan umur. Kajian mendapati, pemain sukan raket mempunyai risiko kematian pramatang lebih rendah. Mungkin mereka pun terpanggil memeriahkan topik raket.
Antara inspirasi dan pengajaran, kisah dikongsikan juara remaja Asia, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal yang memulakan langkah pertama dalam dunia badminton dengan raket berharga RM2 dan kisah guru sekolah yang disaman lebih RM400,000 oleh anak murid sendiri kerana cedera serius, semuanya berkait raket bulan ini.
Bagi kisah pertama, Ahmad Redzuan, berpasangan dengan Low Zi Yu, yang menamatkan kemarau 19 tahun Malaysia menjuarai beregu campuran Kejohanan Remaja Asia awal bulan ini ada bercerita kepada media bahawa minatnya kepada badminton bermula dengan raket murah RM2.
Cerita anak Terengganu itu, asalnya dia cenderung sukan bola sepak bahkan sudah pun mewakili sekolah dalam sukan bola sepak, namun kerana pengaruh bapanya yang sering bermain badminton, dia akhirnya cuba bermain badminton dengan beli raket murah berharga RM2 secara rahsia.
Media sosial menggambarkan Ahmad Redzuan bukti sebenar ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’ dan kekurangan bukan alasan untuk kita gagal.
Sementara itu, bagi kes kedua, media minggu lalu melaporkan bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Segamat, Johor berjaya memperoleh ganti rugi lebih RM452,000 selepas Mahkamah Tinggi Muar memutuskan pihak sekolah cuai kerana gagal menyediakan penyeliaan munasabah sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan kekal pada mata dan otak ketika mengikuti kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).
Muhammad Syakir Irfan Syed Ali, 21, memfailkan saman terhadap sekolah berkenaan susulan kejadian ketika dia merupakan pelajar Tingkatan Dua di sekolah itu pada 2019.
Saman difailkan melalui bapanya, Syed Ali Syed Hussein yang bertindak sebagai wakil litigasi kerana mangsa masih bawah umur ketika insiden berlaku.
Muhammad Syakir cedera serius termasuk kecederaan tembus pada mata kiri, keretakan pada tengkorak dan pendarahan akut dalam otak sehingga mengakibatkan kecacatan klinikal kekal yang menjejaskan penglihatan serta fungsi neurologinya.
Defendan dinamakan kes ini ialah guru, Nur Badruzzanan Mohamad; pengetua sekolah, Maziah Mohammad; Ketua Pengarah Pendidikan serta Kerajaan Malaysia.
Menurut fakta kes, ketika kelas PJK, Muhammad Syakir selepas aktiviti bermain frisbee telah mengambil raket badminton milik sekolah untuk bermain secara santai bersama seorang rakan sekelas.
Bagaimanapun, batang besi raket tiba-tiba tercabut daripada pemegangnya sebelum terkena mata kiri mangsa.
Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan kesemua tuntutan memihak kepada plaintif dengan liabiliti ditetapkan 100 peratus ke atas defendan selepas meneliti keterangan dan bukti yang dikemukakan.
Itulah dua kisah ‘panas’ tentang raket dalam bulan ini.














