fbpx
SKUAD negara mampu meredakan tekanan sekiranya mampu pulang dengan kemenangan pada aksi pertama menentang Myanmar. - FB MALAYSIA NT

Piala ASEAN: Perlu menang elak tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD Harimau Malaya ‘wajib’ memulakan kempen Piala ASEAN 2026 dengan langkah kanan sekiranya serius untuk menjadi salah satu negara pencabar pada aksi pertama Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon hari ini.

Pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan misi untuk membawa pulang tiga pastinya menjadi sasaran sekali gus meringankan tekanan awal terhadap pasukan pada kejohanan bola sepak berprestij itu nanti.

Namun, Cheng Hoe mengakui Myanmar bukanlah pasukan yang mudah terutama apabila memiliki kelebihan bermain di laman sendiri selain kehadiran jurulatih, Jorn Andersen yang boleh memberikan dimensi baharu buat tuan rumah.

“Sudah tentu pada mana-mana kejohanan, aksi pertama adalah sukar. Namun, kita bertandang ke Myanmar dengan satu misi untuk mendapatkan keputusan terbaik (raih tiga mata).

“Cuma, Myanmar sudah melakukan persiapan agak lama dan sudah menentang Vietnam pada aksi bersahabatan dengan dibimbing oleh jurulatih baharu (Andersen).

“Kita dapat lihat pasukan lawan ada kesungguhan dan pamerkan corak permainan berbeza. Apa yang penting, saya harap pemain kekal positif dan fokus sepanjang perlawanan,” katanya kepada Kosmo!

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui pening kepala untuk membariskan kesebelasan terbaik kerana semua pemain memberikan seratus peratus sepanjang bersama lebih 10 hari pada kem latihan pusat sebelum ini.

“Saya belum dapat putuskan lagi siapa kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti dan akan bincang dengan barisan kejurulatihan kerana perlu meneliti tahap kecergasan semua pemain.

“Siapa sahaja yang diturunkan, semua pemain perlu bermain sebagai satu pasukan dan saya akan lihat mana kombinasi terbaik pada hari perlawanan nanti,” katanya.

Di atas kertas, skuad negara dijangka tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan memandangkan Myanmar berada di ranking ke-158 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-136.

Selepas aksi bertemu skuad Chinthe, Harimau Malaya akan menentang Laos pada Selasa depan, Thailand (1 Ogos) dan Filipina (8 Ogos) untuk melengkapkan aksi Kumpulan B.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN