PETALING JAYA – Sebuah gelendong kabel dilaporkan bergolek di atas jalan secara tiba-tiba sebelum merempuh sebuah kereta yang sedang membelok memasuki kawasan parkir sebuah pasar raya di Shah Alam.
Kejadian yang didakwa berlaku kira-kira pukul 8 malam tadi dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain sebelum tular di Threads.
Kelihatan gelendong kabel jenis kayu secara tiba-tiba bergolek di atas jalan raya dari arah bukit sebelum merempuh sisi kanan sebuah Proton Wira.
Pemandu kereta itu kemudian terpaksa membrek secara mengejut selepas gelendong kabel berkenaan merempuh kenderaannya dengan impak yang dipercayai kuat.
Pemilik rakaman memaklumkan dia berkongsi video tersebut bagi membantu pemilik Proton Wira yang terlibat sekiranya memerlukan rakaman sebagai bukti untuk sebarang urusan tuntutan.
“Maaf pemilik Wira, saya tak berhenti sebab terlalu terkejut dengan kejadian yang berlaku depan mata selain sedang tergesa-gesa ke destinasi.
“Saya kongsi rakaman ini mana tahu diperlukan untuk sebarang tuntutan,” tulisnya.
Di ruangan komen, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa bimbang kerana kejadian itu berpotensi mengakibatkan kemalangan lebih serius sekiranya melibatkan penunggang motosikal.
“Dari jauh ingat lembaga apa yang besar. Sekali dah dekat, Ya Allah, bahaya betul kalau kena motosikal,” komen seorang pengguna.
Seorang lagi netizen pula berpendapat gelendong kabel itu berkemungkinan datang dari kawasan kerja berhampiran, namun perkara itu tidak dapat dipastikan.
“Ya Allah bahayanya. Mesti jatuh dari lori,” tulis seorang lagi pengguna.- KOSMO! ONLINE














