fbpx
MUHAMMAD meneliti sepucuk senjata api yang dirampas di IPK Perlis di sini hari ini.

Kes dadah bongkar sindiket penyeludupan senjata api tiga negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Penahanan seorang lelaki dalam kes pengedaran dadah di Sitiawan, Perak awal bulan lalu membawa kepada pembongkaran sindiket penyeludupan senjata api yang dipercayai aktif sejak 2019 dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM360,000.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, siasatan terhadap suspek membawa kepada beberapa siri serbuan di Perak, Perlis dan Kedah sepanjang bulan ini.

Menurutnya, polis merampas lapan pucuk senjata api, 21 senjata airsoft, satu senapang angin buatan sendiri, ratusan butir peluru pelbagai kaliber serta hampir 9,000 kelongsong peluru.

“Siasatan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak 2019 dengan senjata api diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedarkan kepada rangkaian tertentu di utara Semenanjung,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.

Muhammad berkata, kes bermula selepas sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Terus Maju, Sitiawan pada 1 Julai lalu.

Katanya, pemeriksaan di rumah suspek menemukan tujuh senjata airsoft, 52 butir peluru tabur, sembilan butir peluru 9 milimeter (mm) serta lapan kelongsong peluru.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa polis menjalankan beberapa siri serbuan di Perlis dan Kedah. Kita juga percaya senjata api ini diseludup masuk dari negara jiran,” katanya.

Dalam serbuan di sebuah kebun buah-buahan di Kampung Wang Pisang, Beseri pada 5 Julai lalu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 49 dan 34 tahun.

Pemeriksaan di lokasi itu menemukan lapan senjata airsoft, sepucuk rifle berkaliber .22 serta lebih 600 butir peluru pelbagai kaliber.

Tangkapan tersebut turut membawa polis ke sebuah rumah di Wang Ulu, Kangar yang menemukan 155 butir peluru berkaliber .22, 5.56mm dan 9mm.

Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah stor di Taman Repoh, polis merampas tiga pucuk senjata api, sembilan senjata airsoft, ratusan butir peluru serta 8,936 kelongsong peluru pelbagai jenis.

Polis turut melakukan serbuan di Taman Utara Jaya, Kuala Perlis, Jalan Kaki Bukit, Kangar dan Lunas, Kedah yang menemukan senapang patah, raifal berkaliber .22, senjata airsoft serta senapang angin buatan sendiri.

Muhammad berkata, tiga suspek sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar dan Kulim mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Akta Senjata 1960.

Katanya, siasatan terhadap suspek lain masih diteruskan dan tindakan pendakwaan akan dicadangkan sekiranya bukti yang diperoleh memenuhi kehendak undang-undang.

Tambahnya, setiap senjata api yang berjaya dirampas berpotensi digunakan untuk kegiatan jenayah berat seperti samun bersenjata, pembunuhan, pengedaran dadah dan jenayah terancang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN