fbpx
Vivy dan Fadzarudin ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKI RADIN/KOSMO!

Saksi sahkan transaksi RM20.3 juta daripada PNB ke Fashion Valet 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan kedua memberitahu, terdapat transaksi pemindahan RM20.3 juta daripada akaun bank Permodalan Nasional Berhad (PNB) ke akaun Syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. (FV) pada 2018.

Penolong Pengurus Maybank yang kini bertugas di Maybank Cawangan Jalan Tun Razak Shamsiah Musa, 55, berkata dua transaksi pemindahan yang dibuat PNB ke syarikat berkenaan adalah masing-masing pada 4 Jun 2018 dan 20 Disember 2018.

“Berhubung dengan pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam syarikat fesyen tempatan, Fashion Valet (FV), saya telah membuat semakan ke atas akaun bank syarikat PNB dan mendapati bahawa terdapat transaksi pemindahan daripada PNB pada 4 Jun 2018 dan 20 Disember dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM20,318,510.00.

“Untuk makluman, saya telah menyemak semua penyata akaun bagi setiap bulan bagi tahun 2018 dan saya sahkan hanya terdapat dua transaksi pemindahan wang dari akaun Malayan Banking Berhad milik PNB ke akaun Public Bank milik Fashion Valet Sdn. Bhd,” kata saksi itu ketika membaca pernyataan saksinya.

Saksi pendakwaan kedua itu memberi keterangan dalam perbicaraan pengasas FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar berhubung pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad.

Sementara itu ketika pemeriksaan balas daripada peguam Datuk M. Athimulan mengenai transaksi-transaksi tersebut, saksi itu memaklumkan tiada pembekuan atau sekatan daripada pihak PNB selain mengesahkan transaksi yang dilakukan adalah sah dan telus.

Peguam: Semasa pihak bank menerima dana daripada PNB, adakah PNB memberikan sebarang arahan membekukan atau menyekat penggunaan wang tersebut itu?

Saksi: Tiada.

Peguam: Puan tidak mempunyai pengetahuan atau akses kepada terma perjanjian antara PNB dengan Fashion Valet?

Saksi: Setuju.

Peguam: Berdasarkan rekod bank, semua transaksi berhubung dana PNB itu telah diproses secara sah, telus dan mematuhi piawaian serta perbankan?

Saksi: Setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung lagi 17 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah manakala peguam Athimulan mewakili pasangan itu.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.

Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kemudian pasangan itu sekali lagi didakwa dan turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menyalahgunakan dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN