fbpx
TANGKAP layar perbualan Kosmo! dengan dua penyedia yang menawarkan khidmat menyiapkan tugasan.

Upah siapkan tugasan 18 sen satu perkataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Khidmat menyiapkan tugasan termasuk tesis kini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan dipromosikan secara terbuka di media sosial termasuk Facebook.

Dengan hanya menaip ‘khidmat upah menyiapkan tugasan’ pa­da enjin carian Google, orang ra­mai terutama pelajar institusi pengajian tinggi akan diberikan pelbagai pilihan mengenai penyedia perkhidmatan tersebut.

Tinjauan Kosmo! di Facebook mendapati terdapat kumpulan yang menyediakan khidmat tersebut dan boleh diakses oleh orang ramai. Setakat ini kumpulan itu mempunyai hampir 10,000 ahli.

Selain orang perseorangan, per­khidmatan itu turut dilakukan secara profesional melalui penubuhan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai le­bih 200 penulis termasuk gra­duan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Keadaan ini sekali gus menunjukkan seolah-olah perkhidmatan tersebut ‘dihalalkan’ di peringkat pengajian tinggi.

Salah satu penyedia khidmat tugasan itu memaklumkan kepada Kosmo! bahawa caj yang dikenakan adalah mengikut jumlah perkataan.

“Caj satu patah perkataan adalah RM0.18. Untuk menyiapkan Bab 1 hingga 3 tesis yang mengandungi kira-kira 5,000 patah perkataan, caj yang dikenakan adalah RM972 termasuk cukai.

Menurut wakil syarikat itu, harga tersebut merangkumi laporan pengaplikasian perisian anti plagiat (Turnitin), semakan kan­dungan kecerdasan buatan (AI), penggunaan bahan rujukan lima tahun terkini dan dua kali semakan percuma bagi setiap bab.

Pelanggan turut dijanjikan penghantaran tugasan akan dibuat secara berperingkat.

Selain itu pelajar juga diberikan jaminan di mana wang akan dikembalikan sekiranya hasil tugasan tersebut tidak memenuhi syarat yang dipersetujui.

Ketika ditanya Kosmo! me­ngenai status operasi, wakil syarikat berkenaan memberitahu, pihaknya berdaftar dengan SSM dan mengemukakan sijil pendaftaran sebagai bukti.

Syarikat itu juga mendakwa telah beroperasi selama lebih tiga tahun.

Sementara itu, sebuah lagi penyedia perkhidmatan sama memberitahu Kosmo! pihaknya menumpukan kepada penyedia­an tugasan akademik mengikut kehendak pelanggan tanpa kadar bayaran tetap.

Seorang wakil syarikat itu mendakwa, pihaknya mempu­nyai lebih 200 penulis terdiri da­ripada pemegang ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang diupah untuk menyiapkan tugasan para pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, caj upah untuk me­nyiapkan tugasan tersebut akan ditentukan mengikut subjek, jumlah perkataan, tempoh serahan dan tahap kesukaran selepas pelanggan mereka menghantar garis panduan atau arahan yang diberikan oleh pensyarah.

Bagaimanapun, syarikat tersebut menetapkan caj minimum adalah serendah RM50 bagi tugasan sehingga 400 patah perkataan.

Bayaran deposit sebanyak 50 peratus perlu dijelaskan sebelum kerja dimulakan.

Selain pindahan akaun bank, pelanggan juga boleh membuat pembayaran menggunakan kaedah Touch ‘n Go dan kad kredit sebelum baki dijelaskan selepas tugasan siap sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN