PETALING JAYA – Wanita yang terbabit dalam sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along) dikesan memainkan beberapa peranan termasuk ‘pegawai perhubungan pelanggan’, pelaku ugutan, pemberi pinjam wang serta pemegang atau penjaga premis operasi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan mendapati penglibatan wanita dalam sindiket itu tidak lagi terhad kepada tugas sebagai ‘pegawai perhubungan pelanggan’ atau membuat panggilan kepada peminjam semata-mata
Menurutnya, berdasarkan hasil siasatan dan risikan antara peranan mereka dalam operasi sindiket ialah ‘pegawai perhubungan pelanggan’, iaitu menghubungi pelanggan, memberi penerangan mengenai pinjaman, mengurus permohonan serta membuat susulan pembayaran.
“Mereka juga dikesan berperanan sebagai pelaku ugutan termasuk terbabit dalam aktiviti simbah cat, menggantung kain rentang, mengedarkan risalah ugutan dan melakukan tindakan intimidasi lain terhadap mangsa yang gagal membuat bayaran.
“Selain itu, wanita turut berperanan sebagai pemberi pinjam wang termasuk mengurus kutipan bayaran dan berurusan secara langsung dengan peminjam dalam kes tertentu.
“Mereka juga dikesan menjadi pemegang atau penjaga premis operasi termasuk teman wanita, rakan serumah atau individu yang berada di lokasi sindiket semasa serbuan dijalankan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Rusdi, JSJK mendapati penglibatan wanita sebagai pelaku ugutan menunjukkan peningkatan berbanding peranan lain, manakala penglibatan sebagai ‘pegawai perhubungan pelanggan’ dan pemberi pinjam wang tidak menunjukkan peningkatan yang mendadak.
“Keadaan ini menunjukkan sindiket semakin fleksibel dalam mengagihkan peranan kepada ahli mereka mengikut keperluan operasi serta bagi mengelakkan perhatian pihak berkuasa,” jelasnya.
Mengulas statistik tangkapan, beliau berkata, seramai 535 wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi tempoh 2024 hingga Jun 2026.
Daripada jumlah itu, katanya, 184 wanita ditahan pada 2024, meningkat kepada 200 orang pada 2025 peningkatan sekitar 8.7 peratus, manakala 151 lagi ditahan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Menurutnya, bagi tahun 2026, sebanyak 151 tangkapan direkodkan sehingga Jun.
“Sekiranya trend semasa berterusan, jumlah tangkapan wanita bagi tahun ini dijangka menghampiri atau melepasi jumlah yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar telah dikenakan tindakan undang-undang, manakala selebihnya masih dalam pelbagai peringkat siasatan dan proses perundangan.
“Statistik ini menunjukkan JSJK tidak hanya memfokuskan tindakan terhadap dalang utama sindiket, malah turut mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang memainkan peranan dalam keseluruhan rantaian operasi sindiket tanpa mengira jantina,” katanya.














