Masih ada kedai makan yang tidak mengurangkan harga minuman tanpa gula biarpun pelanggan memilih untuk tidak mengambil gula.
Keadaan itu mungkin remeh, namun menimbulkan persoalan sama ada usaha menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula benar-benar diterjemahkan di peringkat pengguna.
Penulis sendiri mengalaminya ketika menikmati segelas teh O kosong sewaktu menjalankan tugasan di sekitar Shah Alam, Klang dan Banting baru-baru ini.
Apabila ditanya sama ada harga teh O kosong lebih murah berbanding teh O bergula, jawapan yang diterima cukup ringkas, ‘Sama sahaja harganya’.
Hakikatnya, kerajaan telah memperkenalkan cukai minuman bergula bagi mengurangkan pengambilannya dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Dalam ekonomi pengguna, perbezaan harga biarpun hanya beberapa puluh sen mampu mengubah pilihan seseorang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, diabetes jenis 2 kini dikesan dalam kalangan remaja seawal usia 14 tahun, selain peningkatan obesiti, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi.
Statistik itu sepatutnya menjadi loceng amaran bahawa perang terhadap NCD masih jauh daripada dimenangi.
Pensyarah Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Prof. Dr. Norazmir Md. Nor berkata, harga sememangnya boleh menjadi salah satu faktor mempengaruhi pilihan pengguna.
“Banyak kali kita lihat pengguna yang membeli minuman kurang gula atau tanpa gula masih bayar harga sama seperti minuman bergula.
“Jika keadaan itu berterusan, mungkin lebih baik masyarakat membudayakan membawa air sendiri atau menyediakan uncang minuman sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada minuman yang dijual,” katanya kepada Kosmo!
Menurutnya, peniaga juga wajar lebih telus dengan menyediakan papan tanda harga yang jelas termasuk perbezaan harga bagi minuman tanpa gula supaya pengguna memahami pilihan ditawarkan.
Katanya, terdapat kemungkinan segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan memindahkan keseluruhan kos operasi, bahan dan caj perkhidmatan kepada pengguna walaupun minuman itu tidak menggunakan gula.
“Peniaga sepatutnya lebih terbuka kerana pengguna yang membuat pilihan lebih sihat juga perlu diberi pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata, pengguna juga perlu memainkan peranan dengan lebih bijak dan berani bertanya apabila mendapati harga minuman tanpa gula tidak menunjukkan sebarang perbezaan.
“Daripada cukai minuman bergula yang dikenakan kerajaan, pengguna sepatutnya menikmati manfaat melalui pilihan lebih sihat. Jika keadaan itu terus diterima, tiada tekanan untuk peniaga berubah,” katanya.
Akhirnya, isu ini bukan sekadar tentang beberapa sudu gula atau beberapa puluh sen. Ia menyentuh soal keadilan kepada pengguna, ketelusan peniaga dan kesungguhan semua pihak menjayakan agenda kesihatan negara.
Maka, tiada salah dikatakan kemenangan perang menentang diabetes dan obesiti sepatutnya bermula di meja kedai makan.














