LISBON – Pengendali baharu Portugal, Jorge Jesus menegaskan Cristiano Ronaldo kekal dalam perancangan untuk terus memimpin skuad Selecao pada saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) akan datang.
Menurut Jesus, sekarang bukan masa yang tepat untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad kebangsaan walaupun pasukan itu gagal mencapai pada kempen Piala Dunia 2026.
Sebaliknya, jurulatih berusia 72 tahun itu mahu mengekalkan pemain teras sedia ada termasuk Ronaldo yang masih dilabel penyerang terbaik dimiliki negara itu.
Jesus yang menandatangani kontrak sehingga Piala Dunia 2030 awal minggu ini menjelaskan tempoh persiapan singkat menjelang saingan UNL tidak memberi ruang untuk membentuk skuad baharu sepenuhnya.
“Ramai mungkin menjangkakan jurulatih baharu akan menukar ramai pemain, tetapi itu tidak akan berlaku.
“Paling banyak saya hanya akan membawa masuk dua atau tiga pemain baharu, manakala selebihnya akan kekal kerana kami sudah mempunyai asas yang baik.
“Mengenai Ronaldo, dia masih penyerang terbaik yang kami miliki. Jika dia memilih untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa, saya akan menghormatinya.
“Namun, jika dia masih mahu bermain, tempatnya dalam pasukan sentiasa terbuka kerana dia pemain terhebat sepanjang zaman,” katanya.
Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan bintang Al-Nassr tersebut bersama skuad Selecao selepas Jesus menilai Ronaldo sebagai tonggak penting dalam misi menuju Piala Dunia 2030. – AGENSI














