fbpx
GARNACHO gagal menyerlah bersama Chelsea menyebabkan dia dipinjamkan ke Villa dengan klausa pembelian tetap musim berikutnya. - AFP

EPL: Garnacho masih kekal di London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIRMINGHAM – Aston Villa dilaporkan mencapai persetujuan dengan Chelsea untuk mendapatkan pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho menerusi perjanjian pinjaman yang disertakan klausa pembelian wajib pada penghujung musim.

Perjanjian itu difahamkan memenuhi nilai yang ditetapkan Chelsea, dengan jumlah keseluruhan termasuk yuran pinjaman menghampiri £42.6 juta (RM232 juta), sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan pemain berusia 22 tahun itu.

Garnacho yang menyertai Chelsea daripada Manchester United musim panas lalu dengan nilai £40 juta (RM218 juta) gagal menembusi kesebelasan utama apabila hanya membuat 25 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Pemain antarabangsa Argentina itu juga tidak melaporkan diri pada sesi latihan pramusim Chelsea bagi membolehkan rundingan perpindahannya ke Villa diselesaikan.

Perpindahan tersebut hadir hanya beberapa hari selepas Chelsea memecahkan rekod perpindahan Britain apabila mendapatkan Morgan Rogers daripada Aston Villa menerusi nilai £117 juta (RM639 juta).

Bagaimanapun, urusan Garnacho bukan sesuatu yang mudah apabila kedua-dua kelab perlu memastikan perpindahan itu mematuhi peraturan kemampanan kewangan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) bagi mengelakkan risiko dikenakan sekatan lebih berat.

Jika kedua-dua perpindahan itu diklasifikasikan sebagai pertukaran pemain, Aston Villa berisiko kehilangan sebahagian besar keuntungan daripada penjualan Rogers, sekali gus menjejaskan kedudukan kewangan mereka di bawah pengiraan UEFA.

Pengurus Villa, Unai Emery dilaporkan melihat Garnacho sebagai pilihan ideal untuk memperkuatkan jentera serangan, namun pemain sayap itu dijangka perlu menyesuaikan corak permainannya dengan sistem taktikal Emery yang lebih fleksibel berbanding ketika bersama Chelsea. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN