fbpx
AINA memilih untuk berpisah dengan suaminya selepas mengetahui lelaki tersebut menyara keluarga daripada pendapatan yang diraih menerusi kegiatan haram. – Ilustrasi Shah Hasan

Suami sara keluarga guna wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA sangka selama ini, kami hidup senang hasil perniagaan dan usaha suami. Rupa-rupanya semua itu satu pembohongan yang terlalu besar untuk diterima.”

Itu luahan Aina (bukan nama sebenar) ketika berkongsi detik kehancuran rumah tangga yang dibina lebih sedekad selepas mengetahui sumber sebenar kekayaan suaminya.

Menurut anak jati Johor Bahru, Johor itu, sejak awal perkahwinan, suaminya sering memberitahu, dia menguruskan beberapa perniagaan hingga mampu memberi kehidupan mewah kepada keluarga.

“Saya langsung tidak pernah syak apa-apa. Duit sentiasa ada, rumah cantik, kereta mewah, anak-anak cukup semuanya. Saya cuma bersyukur,” katanya yang berperanan sebagai suri rumah sepenuh masa.

Namun, segala-galanya berubah apabila wanita berusia 35 tahun itu menemui beberapa bukti yang mendedahkan bahawa suaminya sebenarnya menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara rahsia sejak bertahun-tahun lalu.

“Apabila saya siasat perlahan-lahan, baru saya tahu dia bukan sekadar terlibat.

“Dia sebenarnya orang penting dalam rangkaian itu. Selama ini, pihak berkuasa pun langsung tidak tahu mengenainya,” ujarnya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia kecewa kerana seluruh hidupnya selama ini dibina menggunakan wang yang datang daripada kegiatan haram tanpa pengetahuannya.

“Saya rasa jijik dengan diri sendiri. Saya tengok rumah, kereta, barang kemas, semuanya macam hilang nilai sebab saya tahu dari mana sumber duit itu datang,” katanya.

Lebih mengecewakan apabila suaminya mengaku sengaja mereka cerita mengenai perniagaan bagi mengelakkan isterinya mengetahui kegiatan sebenar.

Tambah Aina, suaminya beberapa kali merayu supaya dia tidak meninggalkan keluarga kerana bimbang rahsia tersebut diketahui orang lain.

“Dia janji hendak berhenti suatu hari nanti. Tetapi kalau bertahun-tahun dia boleh menipu saya, macam mana saya nak percaya janji itu,” katanya.

Selepas menimbang baik buruk, Aina mengambil keputusan memfailkan perceraian kerana enggan terus hidup dalam kemewahan bersumberkan wang haram.

“Saya tidak mahu lagi bersubahat, walaupun secara tidak langsung.

“Saya lebih rela hidup sederhana dan pergi kerja untuk besarkan anak daripada menikmati rezeki yang jelas salah di sisi undang-undang serta agama,” katanya.

Akuinya, keputusan itu dibuat bukan kerana sudah tidak menyayangi suaminya, sebaliknya demi menjaga maruah diri dan masa depan anak-anak.

“Saya tidak mahu anak-anak membesar dengan menyangka kemewahan ini hasil daripada kerja yang boleh dibanggakan.

“Biarlah mereka hidup sederhana, asalkan sumber rezekinya bersih,” katanya.

Meskipun sedar kehidupan selepas perceraian mungkin jauh lebih sukar, namun wanita itu percaya ketenangan jiwa tidak boleh dibeli dengan wang.

“Bagi saya, rumah kecil yang dipenuhi keberkatan jauh lebih bernilai daripada ‘istana’ dibina atas penipuan dan sandiwara bertahun-tahun lamanya,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN