LONDON – Chelsea digesa mendapatkan salah seorang pemain skuad Piala Dunia England sebagai pengganti pemain sayap, Alejandro Garnacho yang bakal meninggalkan Stamford Bridge.
Garnacho, 22, semakin hampir menyertai Roma selepas melalui musim pertama yang mengecewakan di Stamford Bridge selepas berhijrah dari Manchester United pada musim panas tahun lalu.
Garnacho mengalami musim yang sukar di London apabila hanya menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan bergelut untuk mendapatkan minit permainan dalam skuad Chelsea yang turut beraksi di bawah jangkaan.
Kedua-dua Chelsea dan Garnacho percaya perpindahan adalah jalan terbaik untuk semua pihak, dengan kelab Serie A, Roma, dijangka melengkapkan perpindahan pemain itu dalam beberapa hari lagi.
Bekas pemain tengah Chelsea, Andy Townsend, percaya bintang England, Marcus Rashford, adalah calon yang sesuai sekiranya kelab itu mahukan pengganti untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Garnacho.
“Saya fikir Marcus Rashford akan meningkatkan kualiti skuad Chelsea. Dia jelas lebih baik daripada Alejandro Garnacho.
“Kita bercakap mengenai nilai sekitar £35 juta (RM192.72 juta). Saya agak terkejut kerana masih tiada kelab yang mendapatkan khidmatnya dengan harga itu.
“Dia menerima gaji yang sangat tinggi dan itu menjadi masalah bagi mana-mana kelab. Tetapi, saya fikir jumlah itu masih boleh dirunding sehingga semua pihak berpuas hati. Kelab seperti Chelsea mungkin sesuai untuknya.
“Rashford telah membuktikan ketika di Barcelona bahawa dia mampu bermain di kelab besar dan memahami mentaliti tersebut. Marcus dan wakilnya sepatutnya bekerja keras mencari persekitaran yang sesuai termasuk dari segi gaji,” katanya. – AGENSI














