fbpx
Bahan binaan JKR yang terkena OHL KTMB di Batang Benar, Seremban hari ini. FOTO KTMB

Gangguan kerja pembinaan jejaskan KTM Komuter, ETS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan susulan insiden kerja-kerja pembinaan jambatan di Batang Benar, Seremban hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden itu melibatkan kerja pembinaan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek wayleave yang dijalankan tanpa mendapatkan kelulusan kerja daripada KTMB.

Menurutnya, semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan, struktur kayu dari tapak pembinaan telah terjatuh ke atas landasan sebelum menghempap sistem elektrik alat talian atas (overhead line) di antara Batang Benar dan Labu.

“Insiden tersebut menyebabkan kerosakan pada sistem bekalan elektrik sekali gus menjejaskan operasi tren di laluan berkenaan,” katanya, hari ini.

Susulan kejadian itu, perkhidmatan KTM Komuter dari Pulau Sebang menuju ke KL Sentral ditamatkan di Stesen Seremban, manakala perjalanan ke arah KL Sentral dan Batu Caves hanya bermula dari Stesen Bangi.

“KTMB turut menyediakan tiga perkhidmatan bas perantara dari Seremban, Tiroi, Batang Benar, Labu dan Bangi bagi membantu penumpang ke stesen untuk meneruskan perjalanan.

“Selain itu, tiada perkhidmatan KTM Komuter di antara Stesen Bangi dan Stesen Seremban sehingga dimaklumkan kelak.

“Penumpang yang menggunakan laluan terjejas disarankan mendapatkan pengangkutan alternatif bagi meneruskan perjalanan,” katanya.

Bagi perkhidmatan ETS yang terjejas, KTMB menyediakan tujuh perkhidmatan bas perantara di Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang dan Seremban bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.

Menurutnya, penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan dari stesen permulaan layak menerima pemulangan tambang penuh.

Tambahnya, pasukan teknikal kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan sistem elektrik alat talian atas untuk memastikan perkhidmatan tren kembali beroperasi secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN