KUALA LUMPUR – Sektor pembuatan terus menunjukkan pencapaian positif dengan nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat peningkatan 5.9 peratus atau RM5.6 bilion pada suku pertama 2026, peningkatan kepada RM101.3 bilion berbanding RM95.7 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, sektor elektrikal dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh kitaran peningkatan permintaan teknologi global serta peningkatan pengeluaran semikonduktor.
Menurutnya, subsektor produk petroleum bertapis turut mencatat sumbangan nilai ditambah kedua tertinggi berikutan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi, manakala segmen bahan kimia dan produk kimia berkembang selaras dengan pengukuhan permintaan industri.
“Bilangan guna tenaga sektor pembuatan menunjukkan peningkatan marginal sebanyak 0.04 peratus atau 1,000 orang pada suku pertama 2026 kepada 2.835 juta berbanding 2.834 juta pada tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan kecil ini mencerminkan pendekatan berhati-hati industri dalam pengambilan pekerja berikutan ketidaktentuan ekonomi global, selain peralihan kepada teknologi digital dan automasi,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Sheikh ‘Umar Bagharib Ali berhubung perkembangan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta pencapaiannya dalam meningkatkan produktiviti dan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Tze Tzin berkata, gaji penengah (median) dalam sektor pembuatan pula meningkat daripada RM2,659 pada 2024 kepada RM2,775 pada 2025, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus.
Katanya, peningkatan dalam kadar upah ini adalah selari dengan pertumbuhan sektor tersebut yang menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, kerajaan juga mengutamakan pembangunan PKS dalam program yang dilaksanakan di bawah NIMP 2030 bagi memastikan sektor industri yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.
“Salah satu inisiatif utama NIMP 2030 untuk PKS adalah program automasi dan digitalisasi iaitu Program Smart Tech Up. Setakat 30 Jun lalu, sebanyak 32 kilang telah dikenal pasti sebagai kilang pintar di bawah program Smart Tech Up ini.
“Kira-kira 61 syarikat diiktiraf sebagai kilang pintar di bawah Program Pengiktirafan Kilang Pintar oleh SIRIM dan MARii.
“Secara keseluruhan, 93 syarikat telah menerima pengiktirafan kilang pintar setakat 30 Jun, manakala tambahan 68 syarikat lagi dijangka akan mencapai tahap pengiktirafan tersebut menjelang akhir tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan kilang pintar kepada 161 syarikat menjelang Disember ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














