KUALA LUMPUR – Pekerja yang mengalami kemurungan dan skizofrenia dilindungi di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekali gus orang yang mencarum layak menerima faedah seperti pencen ilat dan pemulihan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, masalah tersebut merupakan kes kesihatan yang tidak diletakkan di bawah penyakit khidmat atau tidak disebabkan oleh faktor pekerjaan.
Katanya, selain itu, satu penyakit yang terbit daripada pendedahan kepada faktor risiko spesifik di tempat kerja dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] dan ditakrifkan sebagai Penyakit Khidmat.
“Jemaah Doktor Khas dan Jemaah Doktor Rayuan mempunyai kuasa untuk memutuskan suatu kes tersebut sebagai Penyakit Khidmat sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 28, Akta 4.
“Dengan syarat penyakit itu diketahui terjadi akibat pendedahan risiko tempat kerja dan dibuktikan berdasarkan siasatan dan pembuktian pendedahan risiko berkaitan,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari Samy Vellu sama ada Perkeso bercadang menyemak semula garis panduan pengiktirafan penyakit pekerjaan dengan mengambil kira penyakit kronik berpunca daripada tekanan pekerjaan dan faktor pekerjaan jangka panjang.
Ramanan berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah melihat keperluan untuk menambah baik garis panduan kesihatan berkaitan secara keseluruhan.
“Ini selaras dengan perubahan corak pekerjaan yang sentiasa berubah mengikut kehendak pasaran serta peningkatan usia tenaga kerja negara.
“Garis panduan ini dikemas kini dari semasa ke semasa dan Perkeso akan menganjurkan kursus untuk melatih ahli Jemaah Doktor sebanyak tiga kali setahun. Antara perkara yang turut dibincangkan adalah berkaitan penyakit khidmat dan kaedah menguruskannya,” katanya.
Beliau berkata, bagi menangani isu tekanan pekerjaan di tempat kerja, Perkeso turut menjalankan program antaranya Seminar Workplace Well-Being yang dilaksanakan secara bersemuka di setiap pejabat negeri tanpa sebarang kos kepada majikan.
Katanya, ia bertujuan membantu majikan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan pekerja melalui peningkatan kesedaran mengenai kesihatan mental, pengurusan risiko psikososial di tempat kerja.
“Siri Webinar Promosi Kesihatan Pekerja iaitu siri webinar dalam talian yang memberi pendedahan kepada pekerja mengenai kesihatan mental, pengurusan stres, kesejahteraan emosi, kesihatan umum dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.
“Program Activ@Work Challenge 2025 pula menggalakkan majikan membudayakan aktiviti fizikal, gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental di tempat kerja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














