fbpx
Firdaos sewaktu membentangkan Tinjauan Ekonomi bagi Separuh Kedua 2026 hari ini.

AmBank naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara kepada 4.8%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – AmBank Group menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.8 peratus bagi tahun 2026, berbanding 4.5 peratus sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, pertumbuhan bakal disokong oleh langkah fiskal yang menyokong penggunaan isi rumah dan pembangunan infrastruktur, kitaran pelaburan global dipacu kecerdasan buatan (AI) yang mengukuhkan eksport elektrik dan elektronik (E&E), serta pelaburan berkaitan teknologi maklumat (IT).

“Unjuran kami mengambil kira pertumbuhan yang lebih sederhana pada separuh kedua 2026 apabila kesan kenaikan harga komoditi dijangka secara beransur-ansur dirasai dalam ekonomi global.

“Risiko luaran masih cenderung kepada kelemahan dengan ketidaktentuan berterusan.

“Sektor yang terdedah kepada kos input lebih tinggi serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Asia Barat dijangka terus berdepan tekanan terhadap margin keuntungan,” katanya semasa Sesi Taklimat Media Tinjauan Ekonomi bagi Separuh Kedua 2026 di sini, hari ini.

Menurut Firdaos, ringgit dijangka didagangkan dalam julat RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh kedua 2026, dengan sasaran akhir tahun pada paras 4.09.

Ini setelah mengambil kira jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS sebanyak 25 mata asas menjelang akhir tahun.

Tambahnya, defisit fiskal negara dijangka mampu mencapai paras sasaran 3.5 peratus tahun ini, atau mungkin sedikit lebih tinggi sebanyak 3.6 peratus sekiranya harga minyak mentah meningkat.

Jelas beliau, kes asas AmBank ialah purata harga minyak mentah Brent pada AS$90 bagi tahun 2026.

Unjuran purata inflasi negara pula dikekalkan pada dua peratus, manakala Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada paras semasa 2.75 peratus tahun ini.

Jabatan Perangkaan hari ini menerbitkan anggaran awalan KDNK suku tahun kedua 2026 sebanyak 5.8 peratus, yang meletakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada separuh tahun pertama sebanyak 5.6 peratus. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN