fbpx
Gambar hiasan

Lampu isyarat AI bantu lancar trafik di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Pusat Kawalan AI bagi membantu mengurangkan kesesakan di ibu negara termasuk mengoptimum tempoh lampu isyarat mengikut keadaan trafik semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, inisiatif itu merupakan antara agenda yang terkandung di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

Katanya, sistem lampu isyarat kini tidak lagi bergantung kepada tempoh masa tetap, sebaliknya menggunakan pengiraan AI untuk menentukan tempoh lampu merah dan hijau berdasarkan aliran trafik sebenar.

“Bagi mengurangkan kesesakan, kita melaksanakan lampu isyarat AI yang menggunakan pengiraan pintar bagi mengenal pasti tempoh perjalanan dan aliran trafik,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) mengenai cadangan penyediaan laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan kawasan perumahan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur.

Dalam perkembangan sama, Su Fui berkata, DBKL turut menyediakan pelan penyuraian trafik secara berfasa bagi mengatasi kesesakan di laluan utama Sentul, khususnya dari Balai Polis Sentul ke Pasar Sentul.

Antara langkah yang akan dilaksanakan adalah melebarkan Jalan Sentul daripada dua kepada tiga lorong di Pasar Sentul, selain menambah petak parkir di hadapan Lot 202 bagi mengurangkan parkir haram yang menjadi antara punca kesesakan.

“DBKL juga akan memperhebat penguatkuasaan terhadap kenderaan yang meletakkan kenderaan secara haram di bahu jalan, terutama berhampiran kemudahan awam seperti Pasar Sentul dan sekolah pada waktu puncak,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN