fbpx
Johari.

7 langkah strategik kerajaan tarik pelaburan teknologi taraf dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaksanakan tujuh langkah strategik bagi menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi kementeriannya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan menumpukan aspek pelaburan berkualiti berteknologi tinggi dan berintensifkan inovasi.

Beliau berkata, antara langkah diambil adalah memperkukuh ekosistem pelaburan negara melalui pelaksanaan dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Selain itu, dasar-dasar sektoral seperti Strategi Semikonduktor Nasional, Strategi Pelaburan Hijau, Pelan Hala Tuju Kimia 2030 dan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 turut menyokong menyokong agenda nasional tersebut.

“Kerajaan juga melaksanakan misi perdagangan dan pelaburan secara bersasar menerusi lawatan kerja yang diketuai Perdana Menteri serta saya dan wakil kementerian ke pasaran strategik bagi mempromosikan Malaysia selain menarik minat syarikat antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman rasmi Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta beliau menyatakan usaha kerajaan dalam menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia untuk melabur di Malaysia.

Menurut Johari, kerajaan turut mengadakan sesi libat urus secara langsung melalui Misi Berasaskan Ekosistem dan ‘strike force’ bertujuan mengenal pasti, memudah cara dan merealisasikan peluang pelaburan berpotensi tinggi.

“Turut diperkenalkan, Kerangka Insentif Baharu bagi menggalakkan pelaburan bernilai tinggi yang menyumbang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan, pembangunan dan inovasi serta penerapan teknologi Industri 4.0.

“Kerajaan terus memperkukuh ekosistem industri negara melalui program pembangunan vendor, peningkatan keupayaan perusahaan tempatan serta pengintegrasian syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan global. 

“Ekosistem industri yang lengkap dan berdaya saing memudahkan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapatkan bekalan, komponen, perkhidmatan serta tenaga kerja mahir, dari sumber tempatan,” ujarnya.

Johari menjelaskan, MITI dan MIDA turut memperkukuh penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, stabil dan mesra pelabur melalui kempen media yang disasarkan serta kerjasama dengan platform media antarabangsa yang berwibawa.

“Perluasan capaian kepada bakal pelabur melalui rangkaian pejabat MIDA di luar negara turut dilaksanakan menerusi seminar pelaburan, mesyuarat meja bulat dan sesi padanan perniagaan serta kerjasama strategik bersama dewan perniagaan asing, persatuan industri dan institusi kewangan antarabangsa.

“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada aspek fasilitasi pelaburan, bermula dari fasa pra-pelaburan sehingga pelaksanaan dan pasca-pelaburan bagi memastikan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapat sokongan diperlukan,” jelasnya.

Antara pendekatan lain jelas beliau, pendigitalan proses permohonan lesen pengilang, insentif cukai, geran dan permohonan-permohonan yang berkaitan, melalui Portal InvestMalaysia sebagai pusat sehenti.

“Turut ditubuhkan, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) di MIDA yang diwakili oleh pelbagai kementerian/jabatan /agensi pelulus yang berkaitan di bawah satu bumbung. 

“IMFC menyediakan fasilitasi khidmat nasihat dan rundingan bagi membantu syarikat-syarikat perkilangan dalam memudahkan pelaksanaan projek masing-masing.

“Turut ditubuhkan, Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi yang menyediakan khidmat penyelarasan bersama Agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, di samping memantau kemajuan projek secara masa nyata melalui Sistem On-Track,” tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau melalui dasar yang konsisten, ekosistem industri yang berdaya saing, pemudahcaraan pelaburan yang cekap serta pembangunan bakat dan teknologi. 

“Pendekatan ini diyakini dapat terus menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia untuk melabur, berkembang dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi strategik di rantau ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN