KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan status terkini projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu Kuala Krai (KBKK) sudah mencapai 71 peratus secara keseluruhannya.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan telah menelan belanja kira-kira RM2.32 bilion.
Jelas beliau berdasarkan status semasa laluan lebuh raya berkenaan dari Pasir Hor ke Kadok dan Kadok ke Ketereh telah siap dan telah dibuka kepada orang ramai.
“Bagi (laluan) Ketereh ke Kok Lanas kita (KKR) telah tamatkan (buat sementara waktu sebelum) kerana kontraktor tidak ‘perform’ (bernasalah). Tetapi kita sudah bagi kepada satu syarikat lain dan ia dalam pembinaan.
“Manakala, bagi Kok Lanas ke Bukit Tiu masih 65 peratus, Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab 68 peratus, Kampung Berangan Mek Nab ke Keroh 80.23 peratus, Keroh ke Kuala Krai 47.36 peratus. Jadi keseluruhan KBKK 71.4 peratus dan kosnya ialah RM2.332 bilion ringgit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkenaan status terkini Lebuh Raya KBKK dan langlah KKR dalam menangani isu jalan rosak di negeri itu ternasuk melibatkan beberapa seksyen di Lebuh Raya Lingkatan Tengah Utama (LTU).
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, meskipun kerajaan negeri Kelantan tidak bersama Kerajaan Persekutuan, tetapi KKR tetap meneruskan projek Lebuh Raya KBKK.
Sebagai rekod, projek lebuh raya sepanjang 66.88 km dengan kos bernilai RM2.33 bilion dibahagikan kepada tujuh pakej utama dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Lebuh raya ini adalah sebahagian daripada jajaran LTU bagi menghubungkan Kelantan dengan Pantai Barat
Dalam pada itu, Ahmad turut memberitahu bahawa pihak KKR menerusi Jabatan Kerja Raya akan sentiasa memantau masalah jalan rosak dan beberapa seksyen pembinaan LTU yang masih tertangguh.
“Mengenai Jalan Gua Musang (seksyen pembinaan LTU yang tertangguh) kita sentiasa memantau perkara ini dan akan perbaiki yang mana rosak teruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE














