LONDON – Chelsea dilapor bakal menjadikan Morgan Rogers sebagai pemain British paling mahal dalam sejarah selepas mencapai persetujuan dengan Aston Villa bagi perpindahan bernilai £117 juta (RM645.20 juta).
Arsenal sebelum ini bersedia untuk meningkatkan usaha mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu, namun Chelsea bertindak pantas memuktamadkan persetujuan selepas England tersingkir kepada Argentina di peringkat separuh akhir Piala Dunia.
The Gunners telah lama berhubung dengan Villa dan proses rundingan menjadi positif dengan pantas apabila Chelsea menyatakan mereka pada dasarnya bersetuju dengan penilaian yang ditetapkan Villa.
Sumber turut memaklumkan bahawa Rogers mahu menunggu sehingga perjalanan England di Piala Dunia berakhir sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya.
Rogers dijangka menjalani pemeriksaan perubatan pada hari Isnin selepas pulang bersama skuad The Three Lions dari Amerika Syarikat.
Nilai perpindahan itu mengatasi rekod pemain British paling mahal sebelum ini, iaitu £116 juta yang dibayar Manchester City kepada Nottingham Forest bagi mendapatkan Elliot Anderson pada awal bulan ini.
Sementara itu, perpindahan Alexander Isak ke Liverpool dengan nilai £125 juta pada musim panas lalu masih kekal sebagai rekod perpindahan tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
Menurut sumber, Rogers telah mencapai persetujuan awal mengenai kontrak selama enam tahun dan memilih untuk menyertai Chelsea berbanding Arsenal yang menamatkan penantian selama 22 tahun untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada bulan Mei.
Rogers menyertai Aston Villa dari Middlesbrough dengan nilai £15 juta pada Februari 2024 dalam satu perjanjian yang dikatakan turut merangkumi klausa bayaran jualan semula kepada kelab Championship itu.
Sepanjang bersama Villa, beliau telah menjaringkan 31 gol dan mencatatkan 29 bantuan gol dalam 125 penampilan. – AGENSI














