fbpx
ONN HAFIZ mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Johor rayu Putrajaya segera tambah petugas HSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) supaya memberi perhatian segera terhadap isu kekurangan petugas kesihatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang kini berdepan beban tugas semakin kritikal.

Onn Hafiz berkata, HSA sebagai antara hospital rujukan utama di Johor menerima ribuan pesakit setiap hari, namun jumlah petugas sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

“Keadaan itu menyebabkan doktor, jururawat dan petugas kesihatan lain terpaksa memikul beban kerja yang tinggi sehingga menjejaskan kebajikan mereka.

“Saya dengan penuh rendah hati memohon pertimbangan dan perhatian segera daripada KKM agar isu kekurangan petugas di Hospital Sultanah Aminah diberikan keutamaan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke HSA, di sini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan kerana petugas kesihatan merupakan tulang belakang kepada sistem perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini.

Beliau berkata, selain HSA, Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang juga berdepan kekurangan tenaga kerja dengan lebih 2,000 jawatan masih belum diisi.

Katanya, kekosongan itu menyebabkan ramai petugas terpaksa bekerja melebihi kapasiti, sekali gus meningkatkan risiko keletihan dan tekanan dalam melaksanakan tugas.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut meninjau pelaksanaan beberapa projek penambahbaikan di HSA termasuk proses pemindahan sementara Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin serta Labor and Delivery (L&D) bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem elektrik dilaksanakan.

Selain itu, projek menaik taraf bekalan utama elektrik serta sistem elektrikal dan mekanikal hospital bernilai hampir RM159 juta sedang giat dilaksanakan bagi memastikan operasi HSA lebih selamat dan efisien.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga HSA yang terus komited memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berdepan kekangan tenaga kerja.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN