SERDANG – Seorang pelajar lelaki dan bapanya cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan pelajar dalam kejadian di luar sebuah sekolah menengah di Taman Desaminium di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang kini tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu apabila mangsa yang merupakan pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desaminium dipanggil beberapa pelajar lelaki dari sekolah yang sama.
“Ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya yang di parkir di luar kawasan sekolah, dia telah dikepung sebelum dipukul oleh kesemua suspek.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka pada bahagian bibir dan lutut selain lebam serta sakit di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan.
“Akibatnya, lelaki itu mengalami kecederaan pada tangan dan kaki serta sakit di seluruh badan,” ujarnya.
Muhamad Farid berkata, polis telah menahan beberapa individu bagi membantu siasatan dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyebaran kandungan di media sosial,” katanya.
Beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian itu ditangani secara profesional mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














