SEGAMAT – Seramai 2,300 pelajar daripada 135 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor serta Melaka berentap dalam Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Selatan yang menyaksikan cabaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), robotik, dron, kejuruteraan dan inovasi menjadi tarikan utama.
Pertandingan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu berlangsung selama dua hari di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Segamat bermula 22 Julai lalu.
Kesemua peserta yang layak akan bersaing merebut tempat ke Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 yang dijadual berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor pada November depan.
Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, Malaysia Techlympics menjadi platform penting untuk memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pendekatan pertandingan yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Menurutnya, program tersebut turut membentuk pemikiran kritis, kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta budaya inovasi dalam kalangan pelajar dan belia.
“Matlamat utama Malaysia Techlympics ialah membudayakan sains, teknologi dan inovasi melalui pendekatan praktikal, pembelajaran berasaskan pengalaman serta pertandingan yang terbuka kepada pelajar dan belia daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan kaum,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan di sini.
Beliau berkata, selaras dengan perkembangan teknologi global, edisi kali ini memperkenalkan dua pertandingan baharu berasaskan AI iaitu AI Vibe Coding Drone dan Cabaran FC-1 Vibe AI.
Katanya, pengenalan cabaran itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai penggunaan AI yang kini semakin meluas dalam sektor perniagaan, industri dan pembangunan teknologi negara.
Selain AI, peserta turut menguji kebolehan dalam pelbagai disiplin lain termasuk robotik, pengekodan, pengkomputeran, dron dan kejuruteraan melalui pertandingan berasaskan penyelesaian masalah sebenar.
Nagulendran berkata, Mosti komited memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dengan menyediakan lebih banyak platform yang mampu mencungkil bakat baharu dalam bidang teknologi dan inovasi.
Beliau berharap penyertaan yang memberangsangkan pada Malaysia Techlympics 2026 mampu melahirkan lebih ramai bakat muda yang bersedia memacu agenda transformasi digital serta ekonomi berasaskan teknologi tinggi negara pada masa depan. – KOSMO! ONLINE














