KOTA BHARU – Cubaan tiga sekawan etnik Rohingya untuk melarikan diri ketika pemeriksaan Jabatan Imigresen (JIM) gagal selepas mereka dicekup apabila didapati menggunakan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik individu lain dalam Ops Mega di sini hari ini.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu merupakan antara 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu melibatkan JIM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, tiga lelaki terbabit datang menaiki sebuah kenderaan untuk membeli-belah di kawasan sekitar stesen bas di sini.
Katanya, anggota operasi mengesan ketiga-tiga suspek dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan sebelum mereka cuba melarikan diri.
“Cubaan mereka bagaimanapun gagal dan semakan menggunakan aplikasi khas mendapati kad UNHCR yang digunakan adalah palsu apabila gambar dan nama yang dipaparkan bukan milik mereka.
“Mereka mendakwa memperoleh kad tersebut daripada seseorang dan datang ke negara ini untuk bekerja. Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Mega di sini hari ini.
Dalam operasi itu, seramai 362 PATI warga Nepal, Kemboja, Indonesia, Pakistan, Myanmar, Bangladesh dan Rohingya termasuk wanita serta kanak-kanak berusia antara dua hingga 60 tahun diperiksa.
Mengulas lanjut, Garry memberitahu, kes membabitkan tiga lelaki Rohingya itu akan dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan selain siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, kesalahan lain melibatkan warga asing kebanyakannya membabitkan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan etnik Rohingya yang ditahan mempunyai kad UNHCR. Operasi akan terus dijalankan bagi membanteras kemasukan warga asing secara haram ke negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














