JOHOR BAHRU – Taktik premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan warga asing menggaji pekerja tanpa mematuhi peraturan imigresen terbongkar selepas 108 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sekitar Taman Sri Bahagia, di sini.
Operasi yang dijalankan kira-kira pukul 8 malam pada Isnin lalu itu dilaksanakan secara bersama antara JIM Johor dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hasil risikan serta pemantauan yang dijalankan sejak beberapa ketika.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada premis-premis perniagaan yang disyaki dikendalikan warga asing serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan dan pas kerja.
Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas semua individu yang berada di premis termasuk semakan dokumen perjalanan, pas dan permit bagi memastikan mereka berada serta bekerja di negara ini secara sah.
“Hasil pemeriksaan, seramai 108 warga asing berusia antara 18 hingga 49 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 warga Indonesia termasuk dua wanita, 25 warga Myanmar termasuk tiga wanita, 32 warga Bangladesh, 16 warga Pakistan, 17 warga Nepal termasuk dua wanita serta empat lelaki warga India.
Katanya, semua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.-KOSMO! ONLINE














