KEMAMAN – Seorang lelaki etnik Rohingya sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup migran warga Myanmar bersama seorang tertuduh warga Thailand pada tiga bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mohamad Ismail Mohamad Siddik, 32, yang merupakan etnik Rohingya dan warga Thailand, Muhammadtaofit, 25, masing-masing mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menyeludup tiga migran yang merupakan lelaki warga Myanmar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Kilometer 255.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) hala Kuala Lumpur berhampiran Perasing di sini pada 11.30 pagi, 24 April lalu.
Mohamad Ismail dan Muhammadtaofit
didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Wan Suhaila tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim, manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Kosmo! Online 14 Julai lalu melaporkan Mohamad Ismail dan Noor Effendy Yusoh@Zakaria, 41, yang merupakan warga tempatan dituduh seorang migran warga Myanmar juga di LPT 2 pada tiga bulan lalu. – KOSMO! ONLINE














