fbpx
Nota amaran bertulis serta kesan simbah cat merah pada rumah kediaman yang ditinggalkan sindiket pemeras ugut untuk menakut-nakutkan mangsa dan jiran berhampiran.

Along simbah cat rumah jiran ugut langsai hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang wanita hidup dalam ketakutan apabila bukan sahaja hutang along sudah meningkat, malah jiran dan keluarga mertuanya turut diugut supaya pinjaman itu dilunaskan segera.

Phua, 51, berkata, kejadian berlaku selepas adiknya yang bekerja di Singapura meminjam wang along SGD600 (RM2,000) sebelum ia meningkat kepada SGD20,000 (RM64,000).

Katanya, dia tidak pasti bila pinjaman yang dibuat melalui aplikasi online itu dilakukan oleh adiknya sebelum sindiket mula tiba-tiba mengancam keluarga mereka di Malaysia.

“Pada mulanya rumah kami disimbah cat merah hingga membuatkan kami ketakutan setiap hari dan tidak bleh tidur malam kerana bimbang keselamatan kami diancam.

“Kemudian ia merebak ke rumah jiran dan mereka mendesak dan menekan-nekan supaya kami segera menyelesaikan hutang,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurut Phua, sindiket turut mengugut mahu membakar rumah ibu mertua pula sekiranya mereka gagal membuat bayaran selain menggunakan gambar kami sekeluarga sebagai profil WhatsApp untuk tujuan menakutkan kami.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong memberitahu polis telah menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘runner’ menyimbah cat di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima lebih 200 kes berkaitan pinjaman wang dalam talian dan pemerasan yang melibatkan nilai kerugian melebihi RM18 juta, dengan sebahagian besarnya melibatkan masyarakat Cina.

“Scammer ini sengaja menyimbah cat pada rumah jiran supaya jiran rasa marah dan takut, seterusnya mengenakan tekanan secara terus kepada keluarga mangsa untuk membayar duit yang dituntut.

“Paling membimbangkan, sindiket dalam talian ini bukanlah along tradisional yang boleh dibawa berunding, sebaliknya penipu yang tidak takut terhadap undang-undang dan tidak akan berhenti memeras ugut walaupun bayaran telah dibuat,” tegasnya.

Orang ramai yang menjadi mangsa pemerasan atau mempunyai maklumat berhubung sindiket berkenaan diminta segera tampil membuat laporan polis atau menyalurkan maklumat kepada Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN