fbpx
Antara poster pinjaman wang yang menggunakan wajah wanita muda untuk memancing orang ramai di media sosial. Gambar kecil: Adam

Teman berhibur, rupa-rupanya ajak buat hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sindiket ceti haram atau along sentiasa me­ng­ubah strategi dalam mencari pelanggan dan yang terbaharu ialah dengan menggunakan wanita muda untuk memikat mangsa membuat pinjaman wang.

Wajah-wajah wanita muda ber­usia dalam lingkungan 20 hingga awal 30-an itu bukan sahaja dile­takkan pada poster iklan untuk me­mancing pelanggan, malah mereka diupah sebagai peneman bagi mendekati individu sasaran sebelum menawarkan pinjaman.

Perkara itu didedahkan Ketua Unit Banteras Along Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim, Adam Mustapa yang berkata, pendekatan tersebut menunjukkan sindiket kini bera­lih kepada pendekatan psikologi berbanding keganasan fizikal.

“Individu pertama yang bercakap dengan mangsa selalunya adalah wanita. Mereka pandai ‘me­ngayat’ atau menyusun kata-kata manis sehingga membuatkan mang­sa percaya bahawa pinjaman tersebut adalah selamat.

“Selain itu, jika dulu along menunggu mang­sa, jika mereka gagal bayar hu­tang baru datang (ke rumah atau pejabat) untuk simbah cat atau menggantung kain rentang. Tetapi sekarang mereka se­rang psikologi mangsa lebih awal,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Menurut Adam, sindiket pinjaman wang tanpa lesen tersebut turut menggunakan akaun media sosial seperti Facebook dengan memaparkan wanita yang memiliki pesonaliti menarik bagi meyakinkan orang ramai bahawa mereka mewakili syarikat pinjaman yang sah.

“Mangsa akan mudah tertarik sekiranya melihat profil gambar wanita cantik, cara berkomunikasi yang kelihatan profesional dan proses pinjaman yang sangat mudah.

“Jadi dalam tempoh lima minit pinjaman tersebut sudah diluluskan. Itulah perangkap pertama yang orang ramai tidak sedar,” katanya.

Adam memaklumkan, selepas pinjaman wang tersebut diluluskan, ejen wanita terbabit akan berhubung dengan mangsa menggunakan skrip yang telah disediakan oleh pihak sindiket.

“Mereka (wanita upahan) tidak bercakap sesuka hati. Semua ayat berbentuk pujukan, ugutan, mesej dan kandungan untuk ditularkan sudah disediakan oleh ‘bos’.

“Kalau mangsa masih enggan menjelaskan hutang tersebut, mereka akan mengikut arahan seterusnya untuk memberi tekanan kepada penghutang,” katanya.

Jelas Adam, pendekatan tersebut dilihat jauh lebih berkesan kerana mangsa akan mengalami tekanan emosi sebelum sebarang ugutan secara fizikal dilakukan.

“Sindiket ceti haram ini memahami psikologi manusia. Mereka tahu apabila seseorang itu mulai panik, takut dan malu, mangsa akan lebih mudah mencari wang walau dalam keadaan apa cara sekalipun.

“Sebab itu sekarang mereka lebih banyak menyerang mental peminjam, berbanding me­nyerang kediaman mangsa,” kata beliau.

Dalam pada itu, Adam turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati berhubung tawaran pinjaman wang segera terutama di media sosial kerana kebanyakan sindiket kini menyamar sebagai syarikat kewangan yang sah.

“Mereka (sindiket) tidak lagi menakutkan mangsa pada pering­kat awal. Sebaliknya mereka menjual kepercayaan terlebih dahulu sebelum menawarkan hutang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN