fbpx
TATIA menunjukkan koleksi kole yang dikumpulnya.

Mengumpul kole, hobi penuh nilai sentimental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bagi sesetengah orang, kole atau kole hanyalah bekas untuk menikmati minuman panas seperti kopi atau teh. Namun, bagi pencinta hobi mengumpul kole, setiap satunya menyimpan kisah, kenangan dan identiti tersendiri.

Sama ada dibeli ketika melancong, diterima sebagai hadiah atau diperoleh daripada koleksi edisi terhad, setiap kole mempunyai nilai sentimental yang menjadikan hobi ini semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemarnya.

Seorang pencipta kandungan dari Georgia, Amerika Syarikat, Tatia D. mengakui mempunyai hobi mengumpul kole pelbagai bentuk dan rekaan.

“Selain mempunyai hobi membaca buku, saya juga amat suka mengumpul kole.

“Saya mempunyai hampir 30 biji kole pelbagai rekaan dan saiz. Ada yang dibeli, ada yang diberi sebagai hadiah dari rakan-rakan sempena Krismas,” ujarnya.

Setiap kole milik Tatia mempunyai pesonanya tersendiri.

“Sebagai contoh, salah satu kole yang saya miliki adalah berbentuk buku.

“Ia amat menarik kerana memandangkan saya merupakan seorang penggemar buku dan mempunyai hobi membaca, maka saya fikir saya harus ada kole yang menggambarkan hobi itu.

“Selain itu, saya juga mempunyai satu kole berbentuk ‘stacked pancakes’ yang datang bersama penutup.

“Saya amat menyukai kole itu kerana penutup tersebut menjadikan minuman saya kekal panas untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Jelas Tatia, biarpun mengakui sudah kehabisan ruang di kediamannya untuk menyimpan koleksi kole miliknya, ia tidak menghalang dirinya untuk membeli kole baharu.

“Saya guna semua koleksi kole saya. Jika kehabisan ruang simpanan (dalam kabinet), saya jadikan kole-kole itu sebagai hiasan di dalam rumah,” katanya.

Walaupun ada yang menganggap hobi tersebut sekadar memenuhi ruang di dalam rumah, bagi peminatnya setiap kole mempunyai fungsi dan nilai sentimental yang tersendiri.

Tidak hairanlah ramai sanggup memperuntukkan ruang khas untuk mempamerkan koleksi masing-masing.

Bagi Tatia, hobi mengumpul kole bukan sekadar menambah bilangan koleksi, tetapi turut memberikan kepuasan setiap kali menikmati minuman menggunakan kole yang mempunyai kisah dan keunikannya sendiri.

“Sebagai contoh, saya sukakan kole yang bersaiz besar kerana selain rekaan cantik, ia juga lebih praktikal kerana saya boleh mengisi lebih banyak air di dalamnya,” katanya.

Tatia juga adakalanya akan membeli kole sebagai cenderahati apabila dia melancong.

“Saya pernah tinggal di Paris, Perancis selama sebulan tahun lalu dan saya membeli sebiji kole dengan rekaan croissant.

“Selain comel, ia cukup sentimental buat saya kerana ia akan sentiasa mengingatkan saya tentang Paris,” katanya.

Walaupun hobi mengumpul kole kelihatan sederhana, setiap koleksi membawa makna yang berbeza kepada pemiliknya.

Keunikan reka bentuk, nilai sentimental dan kenangan yang tercipta menjadikan setiap kole lebih daripada sekadar bekas minuman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN