fbpx
Gambar hiasan

Tidak benar bekas KSU Perbendaharaan jual aset Tabung Haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir menjual aset strategik Tabung Haji adalah tidak benar dan palsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, terlalu banyak berita tidak benar bertebaran di pasaran ataupun di dalam masyarakat berhubung dakwaan berkenaan.

“Apa yang berlaku sebenarnya adalah operasi menyelamat, dalam erti kata lain operasi bail-out terhadap institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat daripada kerakusan penyelewengan dana deposit sebelum tahun 2018.

“Keputusan penjualan aset Tabung Haji yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas SPV (syarikat tujuan khas) milik penuh kerajaan, iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. adalah keputusan kolektif Kabinet kerajaan pada tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara menjawab soalan tambahan daripada Prof. Datuk Seri Dr. Noor Inayah Ya’akub di sini hari ini.

Zulkifli berkata, Laporan Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia juga mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti mencecah RM10.9 bilion pada tahun 2018.

“Mengikut Akta Tabung Haji 1955, Tabung Haji tidak boleh mengumumkan agihan keuntungan selagi liabiliti melebihi aset. Ertinya tanpa tindakan segera, jutaan pendeposit tidak akan menerima sebarang agihan dividen.

“Pada ketika itu juga berlaku krisis keyakinan sekitar RM6 bilion dikeluarkan pendeposit dalam tempoh yang singkat, manakala usaha mendapatkan pinjaman siap sedia atau standby loan, gagal sekiranya Tabung Haji untung,” katanya.

Zulkifli berkata, kerajaan berisiko menanggung liabiliti sekitar RM74.5 bilion kerana simpanan Tabung Haji dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“Oleh itu, kerajaan pada waktu itu bertindak menubuhkan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., syarikat milik penuh kerajaan untuk membeli aset Tabung Haji yang bermasalah dan kurang berdaya saing pada harga premium, bukan harga murah.

“Hanya semata-mata untuk menutup jurang defisit RM10.9 bilion dan membolehkan Tabung Haji terus membayar agihan keuntungan. Maksudnya, kerajaan yang menanggung beban, bukan mengaut keuntungan daripada Tabung Haji,” jelasnya.

Beliau berkata, aset berkenaan tidak hilang daripada Tabung Haji, manakala perjanjian tersebut memperuntukkan hak right of first refusal iaitu Tabung Haji boleh membeli semula aset tersebut pada masa hadapan.

“Memandangkan kedudukan kewangan Tabung Haji kini telah kembali kukuh, alhamdulillah. Tabung Haji mempunyai kapasiti untuk memperoleh semula aset-aset yang dijual sebelum ini tertaluk kepada kriteria pelaburan.

“Buktinya, tanah Tun Razak Exchange yang dijual pada nilaian RM400 juta pada 2018, telah dibeli semula oleh Tabung Haji pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.

“Ladang kelapa sawit UG Estates Holding Sendirian Berhad yang dijual pada nilaian RM800 juta, dibeli semula tahun ini, pada nilai pasaran semasa RM695 juta, termasuk tunai RM115 juta iaitu enterprise value sekitar RM580 juta. Ini bermakna aset telah kembali kepada Tabung Haji, malah pada harga yang menguntungkan,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata, keputusan menyelamat Tabung Haji pada waktu berkenaan terbukti tepat dan berhasil pada hari ini.

“Buktinya, deposit meningkat daripada sekitar RM69.4 bilion 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan Jun 2026. Kadar agihan keuntungan naik daripada 1.25 peratus sahaja pada 2018 kepada 3.5 peratus pada tahun 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

“Kos haji kekal tiga tahun berturut-turut walaupun inflasi berlaku. Yang keempat, mutu perkhidmatan haji diiktiraf dunia dengan anugerah tertinggi Labaittom Diamond Award dua tahun berturut-turut. Tabung Haji juga mula berjaya meningkatkan rizab,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berikutan masih ramai keliru dan terperdaya dengan dakwaan tersebut, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.

“Janganlah kita biarkan naratif yang memutar belit fakta. Adalah tidak wajar mengatakan bahawa mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik Tabung Haji tanpa penjelasan fakta yang lengkap. Rekodnya jelas.

“Yang merosakkan Tabung Haji ialah kerakusan penyelewengan sebelum 2018, manakala kerajaan ketika itu sedaya upaya mahu menyelamatkan institusi terpenting umat Islam di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN